Duo import baharu ada 4 kualiti diperlukan TRW


  • Podium
  • Isnin, 27 Jun 2022

Felipe (kanan) dan Kenta menandatangani kontrak bersama Kelantan FC sebelum jendela perpindahan pemain kedua ditutup musim ini. — Kelantan FC

KELANTAN FC pada musim ini antara pasukan paling menyerlah dari segi persiapan mereka sejak awal tahun dan kini mereka terus mengukuhkan kelab di jendela perpindahan kedua dengan kemasukan pemain baharu.

Berbekalkan pengurusan yang teratur dan kewangan lebih stabil, Kelantan FC dilihat mempunyai perancangan sangat rapi dalam urusan keluar masuk pemain mereka musim ini.

Terbaharu, kelab yang beraksi dalam saingan Liga Premier musim 2022 itu menandatangani khidmat dua pemain import baharu untuk jendela perpindahan kedua bagi mengukuhkan setiap posisi yang dilihat agak lemah.

Kedua-dua pemain tersebut merupakan pemain kelahiran Brazil dan dari Jepun iaitu Felipe Hereda Dos Santos serta Kenta Hara selepas diumumkan melalui laman sosial rasmi Kelantan.

Kedua pemain import itu juga sudah pun menandatangani kontrak bersama Kelantan untuk suatu tempoh masa yang ditetapkan oleh pengurusan dan bakal membantu kelab sepanjang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Menurut Qusmaini Noor Rosli selaku Pengurus Operasi TRW Kelantan, beliau melihat aset yang dimiliki oleh Kenta sesuai untuk membantu pasukan di bahagian sayap kiri dan kanan.

Tambah Qusmaini, beliau turut mengakui kelebihan Kenta yang pernah beraksi bersama beberapa kelab di Eropah sebelum itu boleh membimbing rakan sepasukan lain di atas padang.

“Dia (Kenta) sudah menjalani latihan bersama kem pasukan sejak minggu lalu.

“Kelincahan dan kelajuan beliau di bahagian sisi padang akan memberi impak positif dalam atur gerak serangan pasukan,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Qusmaini juga melihat Felipe sebagai aset terbaharu kelab untuk beroperasi dengan lebih stabil di bahagian tengah.

Berbekalkan aset fizikal tegap serta berketinggian 179 sentimeter, pemain dari Brazil itu juga bakal menggunakan pengalamannya ketika di Brazil dan Bahrain untuk membantu Kelantan dalam menghadapi persaingan pada pertengahan musim 2022 ini.

Dalam masa sama, Kelantan juga sudah mengikat dua lagi pemain tempatan untuk mengukuhkan skuad mereka dalam saingan kali ini.

Kedua-dua pemain tersebut sebelum ini beraksi dalam saingan Liga Super 2022 iaitu Mohd Shafiq Al-Hafiz Dawawi dan Abdul Latiff Suhaimi.

Lebih menarik, kedua-dua pemain tersebut juga sebelum itu mewakili Penang pada awal musim sebelum berpindah ke Kelantan di saingan Liga Premier.

Untuk rekod semasa, Kelantan kini berada di landasan tepat untuk menjadi calon juara Liga Premier musim 2022 apabila kini sedang berada pada kedudukan kemuncak carta liga dengan 22 mata dikumpul daripada sembilan perlawanan dihadapi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram