Idea TMJ beri dinamik baharu bola sepak tempatan — MFL


  • Podium
  • Selasa, 05 Jul 2022

Perlawanan melibatkan JDT dan Ulsan Hyundai dalam saingan ACL dilangsungkan pada waktu petang di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. — Agensi

KETUA Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam sambut baik saranan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim (TMJ) agar sebahagian perlawanan dilangsungkan pada waktu siang.

“Berkenaan cadangan Tuanku (TMJ), MFL sentiasa melihat dan menerima sesuatu cadangan ke arah yang cukup positif.

“Musim ini kita dapat melihat sepak mula di sebelah petang diadakan dalam aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Johor Bharu sebelum ini, dan jelas kita dapat saksikan di mana tempoh waktu di negeri Johor boleh dikatakan amat sesuai untuk bermain di sebelah petang.

“Namun sekretariat MFL harus mengkaji perkara ini dari semua sudut dengan lebih teliti sebelum dicadangkan kepada Ahli Lembaga Pengarah pada masa akan datang,” katanya menurut laporan media tempatan.

Beliau juga melihat kelebihan yang bakal diperoleh kelab dengan berlangsungnya perlawanan pada waktu siang dari sudut komersial.

“Jika dilihat daripada aspek komersial, cadangan TMJ itu akan melihat sepak mula di sebelah petang memberikan dinamik baharu kepada bola sepak tempatan di mana penyokong bersama ahli keluarga dapat menikmati perlawanan bola sepak pada hujung minggu,” katanya.

Sebelum ini TMJ akui gemar menyaksikan perlawanan Liga M dilangsungkan pada waktu siang dan mengambil kira contoh Eropah sebagai perbandingan.

Sebelum ini perlawanan melibatkan JDT dan Ulsan Hyundai dalam saingan ACL dilangsungkan pada waktu petang di Stadium Sultan Ibrahim, Johor dan rata-rata penyokong gembira dan tidak menghadapi masalah besar untuk hadir menyaksikan perlawanan tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram