Harimau Muda mula kempen Piala AFF B-19 langkah kanan


  • Podium
  • Selasa, 05 Jul 2022

Malaysia menduduki tempat kedua dalam kedudukan Kumpulan B dengan tiga mata, manakala Kemboja pula menduduki tempat ketiga. — Facebook FAM

SKUAD kebangsaan Malaysia Bawah-19 (B-19) berjaya menewaskan pasukan Kemboja 2-1 dalam perlawanan pertama Kumpulan B Piala AFF B-19 2022 di Stadium Madya, Jakarta, Indonesia pada Selasa.

Kedua-dua gol Malaysia dijaringkan oleh Muhammad Najmudin Akmal Kamal dan Muhammad Haiqal Haqeemi Hairi pada separuh masa pertama, manakala gol sagu hati pasukan Kemboja dijaringkan oleh Chanvinol Davit pada separuh masa kedua.

Kemenangan ini menjadikan Malaysia menduduki tempat kedua dalam kedudukan Kumpulan B dengan tiga mata, manakala Kemboja pula menduduki tempat ketiga dengan mata yang sama tetapi tewas dengan perbezaan gol.

Skuad kendalian Hassan Sazali Waras bermain secara terbuka sejak awal minit permainan lagi.

Skuad Harimau Muda mendahului pada minit ke-13 menerusi jaringan Muhammad Najmudin Akmal Kamal.

Kemboja cuba menyamakan kedudukan, tetapi rembatan kencang Eav Sovannara dapat diselamatkan oleh penjaga gol Malaysia, Syahmi Adib.

Malaysia menambah jaringan kepada 2-0 pada minit ke-29 selepas pemain tengah Muhammad Haiqal Haqeemi Hairi menggunakan ruang antara dua pemain Kemboja untuk melepaskan sepakan gunting yang tidak dapat dihalang oleh penjaga gol Reth Lyheng.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga separuh masa pertama tamat.

Pada permulaan separuh masa kedua, Kemboja mengambil inisiatif untuk menyerang, tetapi kubu pertahanan Malaysia berjaya mematahkan sebarang serangan pasukan Kemboja.

Kemboja akhirnya merapatkan jurang pada minit ke-55 selepas rembatan Chanvinol Davit masuk ke penjuru kanan gawang Malaysia untuk menjadikan kedudukan 1-2.

Pada baki masa separuh masa kedua, Kemboja sekali lagi cuba untuk menyamakan kedudukan, namun pemain Malaysia tampil berdisiplin supaya dapat mengekalkan kedudukan 2-1 sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil.

Malaysia akan berdepan Singapura pada Khamis (7 Julai), sementara Kemboja akan bertemu Laos pada hari yang sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram