MESKIPUN pertemuan Liga Super antara Sabah FC dan Negeri Sembilan FC menyaksikan kemenangan tipis 1-0 memihak kepada skuad Sang Badak, namun penyokong masih 'panas hati' dengan aksi yang ditunjukkan penyerang import baharu, Jose Embalo.
Diturunkan buat kali pertama dalam kesebelasan utama semasa menentang The Jangs, pemain kelahiran Portugal itu dirasakan tidak bermain secara bersungguh-sungguh selepas ada penyokong mendakwa dia agak 'malas' mengejar bola.
Ketika bertemu Selangor FC pada 28 Jun lepas, Embalo yang menggantikan Neto Pessoa membuat penambilan sulung ketika diturunkan pada babak kedua perlawanan.
Ketika itu, sudah nampak gayanya 'malas', namun peminat The Rhinos beranggapan dia wajar diberi peluang dalam match seterusnya untuk menunjukkan 'taring' sebenar memandangkan mungkin Embalo belum menemui rentak sebenar serangan dan persefahaman antara rakan sepasukan.
Begitupun selepas hampir dua minggu di bumi Sabah, penyokong Sang Badak merasakan jolokan newbie atau belum serasi bukan lagi satu alasan buat Embalo memandangkan statusnya sebagai import profesional, selain berpengalaman beraksi di Liga Eropah.
Setakat ini, Al-Mardi sudah meledak empat gol bersama Sang Kenari. — Facebook
Embalo tidak boleh membuang masa dan perlu segera mencontohi import baharu Kedah dari Jordan, Mahmoud Al-Mardi yang sudah meledak empat gol bersama Sang Kenari.
Bahkan, Al-Mardi dirasakan lebih cemerlang kerana sebaik menyertai Kedah ketika jendela perpindahan kedua baru-baru ini, dia sudah beraksi di kejohanan Liga Juara-Juara AFC 2023 di Bali, Indonesia menentang skuad dari negara jiran.
Dalam hal ini, kredibiliti scouting (pemerhati bakat) yang mengenal pasti Embalo sebagai pengganti Neto Pessoa untuk skuad Sabah kendalian Datuk Ong Kim Swee turut dipersoal penyokong.
Jika Embalo terus beraksi hambar, penyokong Sabah FC pasti kecewa dan beranggapan kehadirannya tidak memberikan impak berbeza di bahagian serangan selepas kehilangan Pessoa yang mengalami kecederaan.
Di sebalik kritikan-kritikan sebahagian besar peminat, masih ada yang optimis dan menyimpan harapan agar Embalo akan beraksi mantap dalam pertemuan dengan Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi saingan Liga Super pada 15 Julai depan.
Sabah kini berada di tempat kedua carta Liga Super dengan 22 mata daripada 10 perlawanan manakala JDT kekal sebagai pendahulu liga (23 mata) selepas 9 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram