BOLA merupakan elemen paling penting dalam sukan bola sepak kerana ia memberikan impak terhadap hukum fizik terutamanya aspek teknikal sukan terbesar dunia itu.
Baru-baru ini, Piala Dunia FIFA 2022 dilaporkan bakal menampilkan bola yang dilengkapi sistem video pembantu pengadil (VAR) yang dikenali sebagai teknologi ofsaid separa automatik.
Sistem baharu ini menampilkan 12 kamera stadium yang akan menjejaki kedudukan kedua-dua bola dan setiap pemain individu, termasuklah 29 titik data berbeza pada anggota badan dan kaki setiap pemain.
Bola keluaran Adidas yang diberi nama Al Rihla itu turut dilengkapi dengan sensor gerakan yang akan menyampaikan data mengenai kedudukan pemain ketika perlawanan sedang berlangsung.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) percaya bahawa teknologi ini mampu membantu pegawai perlawanan membuat keputusan yang lebih pantas dan lebih tepat mengenai panggilan ofsaid.
Adakah Al-Rihla akan berfungsi seperti yang diharapkan? Persoalan itu akan bakal terjawab sepanjang kempen Piala Dunia Qatar yang akan berlangsung pada 21 November sehingga 18 Disember depan.
Justeru, mari kita imbau kembali sejarah tiga bola yang pernah mencetuskan kontroversi dalam sejarah penganjuran sukan terbesar dunia empat tahun sekali itu:
Fevernova didakwa memiliki sifat yang terlalu ringan. — Agensi
1. Fevernova
Adidas memperkenalkan Fevernova sebagai bola rasmi pada Piala Dunia 2002 di Korea/Jepun. Kontroversi yang menyelubungi bola ini adalah berkaitan dengan sifatnya yang terlalu ringan. Penjaga gol Itali ketika itu, Gianluigi Buffon secara terbuka mendakwa bahawa bola tersebut hanya sesuai digunakan oleh kanak-kanak.
Teamgeist sukar dibaca penjaga gol. — Agensi
2. Teamgeist
Bola berwarna hitam, putih dan keemasan ini diperkenalkan pada kempen Piala Dunia 2006 di Jerman. Bola ini membawa kelainan berbanding bola rasmi sebelumnya apabila menggunakan 14 panel berbanding 32 panel yang digunakan sebelum itu. Bola ini mendapat kritikan ramai penjaga gol kerana ia sukar dibaca sekali gus memberi kelebihan kepada penyerang untuk menjaringkan gol dari jarak jauh.
Jabulani dianggap bola paling kontroversi sepanjang kempen Piala Dunia. — Agensi
3. Jabulani
Jabulani berada di tangga teratas sebagai bola yang paling tidak disukai dalam sejarah penganjuran Piala Dunia. Pada kempen 2010 di Afrika Selatan, Adidas berjaya mencipta Jabulani dengan hanya menggunakan lapan panel. Meskipun bentuk bulatnya disifatkan sebagai sempurna, namun elemen itu membuatkan bola tersebut tidak mampu 'terbang' lurus sekali gus dilaporkan telah merencatkan rentak aksi dalam perlawanan bola sepak ketika itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram