Melaka United rentap ego JDT


  • Podium
  • Sabtu, 02 Jul 2022

JDT sebelum ini hanya menang tipis 1-0 ketika bertemu pada Ogos tahun lalu. — Facebook MFL

MELAKA UNITED hampir meleburkan rekod tanpa kalah Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan Liga Super apabila mengikat penyandang juara itu dengan keputusan seri 1-1.

Keputusan itu menyaksikan Melaka menjadi pasukan kedua mengikat JDT selepas Sri Pahang FC, sekali gus membuka semula persaingan Liga Super dengan jurang perbezaan mata yang tidak besar berbanding Negeri Sembilan FC di tempat kedua.

Namun JDT masih berbaki dua perlawanan dalam tangan berbanding pencabar terdekatnya itu yang kini dipisahkan tiga mata.

Sebelum perlawanan itu, Melaka United dihimpit kontroversi apabila laporan media menyebut pasukan Sang Kancil itu tidak menurunkan penjaring terbanyak Liga Super 2021, Ifedayo Olusegun kononnya berstatus pemain pinjaman dari JDT.

Namun Melaka United tampil menjelaskan dakwaan itu dengan menegaskan bahawa Ifedayo adalah pemain yang berkontrak penuh bersama Melaka United FC sejak awal musim ini dan bukan berstatus pinjaman dari JDT seperti dua lagi pemain iaitu Fadhli Shas dan Syazwan Andik.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, JDT terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-27 menerusi Leandro Velazquez tetapi Melaka United menyamakan kedudukan 12 minit kemudian menerusi Justin Baas.

Keputusan itu menyaksikan Melaka United berjaya mengekang JDT daripada melebarkan rekod kemenangan antara kedua-dua pasukan.

Dalam 11 pertembungan kedua-dua pasukan itu, JDT menang sebanyak sembilan kali dan mencatatkan dua keputusan seri.

Bagi perlawanan di stadium sendiri, JDT menang sebanyak empat kali.

Malah, Harimau Selatan itu juga menang sebanyak lima kali ketika berlawan di gelanggang Melaka.

Menerusi 11 pertemuan itu juga, JDT menjaringkan 33 gol, manakala Melaka hanya memperoleh skor lima gol.

JDT masih menerajui Liga Super dengan 23 mata daripada sembilan perlawanan dan ini merupakan kali kedua Harimau Selatan keciciran mata selepas seri 2-2 dengan Sri Pahang FC di laman sendiri pada Mei lalu.

JDT akan berkunjung ke Borneo untuk berdepan Sabah pada 15 Julai manakala Melaka United melayan kunjungan Selangor FC pada 5 Julai.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram