Masa depan Ronaldo di Old Trafford, bintang United bongkar perbualan peribadi


  • Podium
  • Jumaat, 01 Jul 2022

Kemerosotan prestasi Manchester United dikatakan cukup mengecewakan Ronaldo. — Agensi

MUSIM suram yang menyelubungi pasukan gergasi Eropah, Manchester United telah menimbulkan desas-desus mengenai status lanjutan kontrak ayam tambatan pasukan tersebut, Cristiano Ronaldo.

Pasukan The Red Devils gagal layak pada kempen Liga-Liga Juara musim depan apabila sekadar menduduki tempat keenam dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, sekali gus mencatatkan prestasi hambar yang tidak harusnya sinonim dengan reputasi skuad tersebut.

Biarpun secara peribadi, pemain kelahiran Portugal itu beraksi cemerlang dengan memberikan sumbangan peribadi sepanjang musim, namun kemerosotan prestasi pasukan menjadikan kepulangan semula beliau ke Old Trafford tidak berbaloi.

Khabar angin berkenaan semakin hangat diperkatakan apabila pemegang anugerah Ballon d'Or sebanyak lima kali itu dikaitkan dengan pasukan-pasukan besar yang lain seperti Juventus, Chelsea dan AS Roma, sejak beberapa minggu yang lalu.

Satu lagi kemungkinan yang dikatakan menyumbang kepada penamatan kontrak Ronaldo di Machester United pada musim panas ini ialah kepulangan semula pemain tersebut di Sporting Lisbon.

Walaubagaimanapun, pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes menepis dakwaan mengenai pemindahan rakan sepasukannya itu dengan mendedahkan perbualan peribadi antara mereka berdua ketika bercuti kepada umum.

"Saya berbual dengan dia (Ronaldo) beberapa minggu lalu. Ketika itu, kami sedang bercuti dan tidak berada dalam tekanan mana-mana pihak. Tiada apa yang saya harapkan, selain daripada dia akan kembali ke Manchester United.

"Setiap pemain berhak memilih haluan karier masing-masing. Saya juga tidak percaya kelab kami sanggup kehilangan pemain bintang seperti Ronaldo. Setahu saya, Ronaldo masih mahu terus bermain (bersama Man United) untuk jangka masa yang lama. Justeru, kita lihat sahaja keputusannya,"katanya.

Sebagai rekod, Ronaldo telah menandatangani kontrak dua tahun untuk kembali ke Manchester United musim panas lalu. The Red Devils membayar pendahuluan sebanyak £12.9m (RM56.8 juta) sebelum menambah lagi ditambah £6.9 juta (RM30.4 juta) .

Ronaldo menjaringkan 24 gol pada musim pertamanya kembali dengan kelab itu musim lepas, sekali gus menjadi penjaring terbanyak The Red Devils manakala Fernandes muncul penjaring kedua terbanyak dengan 10 gol secara keseluruhan.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram