Letak tepi dulu PSM Makassar, Aidil Sharin mahu fokus benda lain


  • Podium
  • Jumaat, 01 Jul 2022

Pasukan KDA FC meraikan kejayaan muncul juara Kumpulan G Piala AFC 2022 di Bali, Indonesia. — KDA FC

PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak menyifatkan semangat kerjasama yang tinggi dan tidak berputus asa menjadi kunci kebangkitan pasukannya untuk mara ke separuh akhir Zon Asean Piala AFC 2022.

Menurutnya, pujian diberikan kepada semua pemain selepas menang bergaya ke atas wakil Kemboja, Visakha FC 5-1 di Bali pada Khamis sekali gus muncul juara Kumpulan G.

"Saya tidak mahu memberi komen atas individu kerana ini adalah kejayaan berpasukan. Semua pemain menunjukkan semangat kerjasama tinggi terutama pada malam ini (Khamis).

"Tidak mudah untuk menewaskan Visakha FC kerana mereka konsisten menang dua perlawanan sebelum ini. Pada separuh masa pertama, Ronald Ngah Wanja gagal menyempurnakan penalti sebelum kita bolos satu gol.

"Namun pemain kami berjaya bangkit untuk menang perlawanan ini dan memang kredit perlu diberikan kepada semua pemain," katanya dałam sidang akhbar selepas perlawanan di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali, Indonesia.

Pada aksi pertama kumpulan, Sang Kenari tewas 0-2 sehingga mendatangkan kebimbangan kepada penyokong mereka namun pasukan itu bangkit menang besar ke atas Kaya FC 4-1 bagi menghidupkan kembali peluang mara ke peringkat seterusnya.

Kemenangan besar KDA FC ke atas Visakha FC pada aksi kumpulan kemudiannya memastikan mereka meraih slot separuh akhir Zon Asean Piala AFC 2022 untuk bertemu pasukan dari Indonesia, PSM Makassar pada 9 Ogos ini.

Mengulas lawan yang bakal dihadapi, Aidil Sharin tidak mahu memikirkannya lagi kerana mahu pemainnya meraikan dahulu kejayaan tersebut sebelum pulang ke negara bagi menghadapi saingan Liga Super 2022 pula. Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram