SKUAD Negeri Sembilan FC akan kembali dari cuti Syawal, apabila bakal bertemu pasukan Sarawak United dalam saingan Liga Super 2022 yang akan berlangsung pada Jumaat di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak.
Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan, penyokong mengharapkan skuad The Jangs mempertahankan rekod tanpa kalah yang dipamerkan dalam lima perlawanan menentang Sarawak United sebelum ini.
Seorang penyokong, Razmi Arif berharap barisan pemain yang diturunkan pada perlawanan malam ini akan berhati-hati dengan penyerang Ngap Sayot, Francis Kone yang mahu menghancurkan rekod cemerlang Negeri Sembilan FC.
"Kone tekad hancurkan rekod tanpa kalah team Jang Jumaat ini. Hati-hati wey...," katanya di laman Facebook Penyokong Setia Negeri Sembilan (BOLASEPAK).
Muhammad Ha membalas hantaran itu dengan berkata, perkara itu mungkin mustahil berikutan pertahanan padu skuad Hobin Jang Hobin yang bukan mudah untuk dibolosi Sarawak United.
Tangkap layar komen penyokong Negeri Sembilan terhadap perlawanan menentang Sarawak malam ini. — Facebook
Dia menyenaraikan tiga tonggak utama pertahanan Negeri Sembilan FC yang akan bertindak sebagai benteng pasukan iaitu Herold Goulon dan Khuzaimee Piee selain penjaga gol skuad berkenaan, Syihan Hazmi.
"Agak-agak lah.. Nismilan ni boss. Pertahanan kita padu (ada) Goulon, Khuzaimie dan Syihan," katanya.
Mohd Aiduddin pula merasakan skuad Negeri Sembilan perlu guna cara santai dan bantai ketika berdepan Sarawak kelak.
"Macam biasa, saya nak ingatkan semua, kita jangan poyo, jangan 'jobo' (riak/ perasan bagus), jangan provoke yang bukan-bukan.
"Kita guna cara S&B - santai & bantai. Kita doakan semoga semua dipermudahkan urusan dan kemenangan menjadi milik Negeri Sembilan," katanya.
Pengurus merangkap Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, K.Devan, sebelum ini dilaporkan berkata, selaku pendatang baharu di Liga Super, dia tidak terlalu memikirkan untuk mengekalkan rekod tanpa kalah.
Dia sebaliknya lebih menumpukan kepada peningkatan prestasi pasukan dari satu perlawanan ke satu perlawanan, menyasarkan untuk kekal dalam saingan Liga Super selain mendapatkan kedudukan yang baik dalam saingan liga musim ini.
Pastinya tiada laluan mudah buat anak buah K.Devan lebih-lebih lagi Sarawak United meraih kemenangan sulung menewaskan PJ City FC 3 – 1 sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram