PASUKAN Kedah Darul Aman FC (KDA) terus mempamerkan belang sebenar apabila membelasah Visakha FC 5-1 pada aksi terakhir saingan kumpulan G Piala AFC 2022 yang berlangsung di Stadium Kapten I Wayan, Dipta, Bali, Indonesia pada Khamis.
Kemenangan besar tersebut sekali gus meletakkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu di tangga teratas yang mana membawa mereka ke separuh akhir Zon Asia Tenggara bertemu pasukan PSM Makassar.
Penyerang import pasukan Kedah, Ronald Ngah Wanja sebelum ini sering mendapat kecaman penyokong setia Hijau Kuning kerana tidak dapat memenuhi jangkaan tinggi peminat gara-gara reputasi gahnya selaku penjaring terbanyak Liga Jordan musim lepas.
Ronald Ngah gembira kerana berjaya mendapat kembali rentak permainannya dan membantu pasukan Kedah. — Facebook
Tetapi tanggapan penyokong mula berubah apabila penyerang kelahiran Tito, Cameroon itu berjaya membantu Kedah melayakkan diri ke separuh akhir Zon Asia Tenggara dengan menjaringkan dua gol ketika bertemu pasukan Kaya FC-Iloilo (Filipina) dan Visakha FC (Kemboja).
Rentetan itu, Ronald Ngah meluahkan rasa gembiranya di Instagram pada Jumaat kerana berjaya mendapat kembali rentak permainannya dan membantu pasukan Kedah layak ke pusingan kalah mati buat pertama kali sejak 2009.
"Saya melihat ke langit kerana di sana datangnya kekuatan saya untuk terus berusaha menjadi yang terbaik kerana proses pengajaran tidak akan pernah berhenti atau berakhir," tulisnya dalam Instagram.
Ronald Ngah berjaya membuat tiga penampilan berserta dua jaringan gol dan tiga assist dalam Piala AFC 2022. — Facebook
Sebelum ini ramai yang benar-benar kecewa dengan ketumpulan penyudah penyerang bertubuh sasa yang mesra disapa Pak Ngah itu, selain dia juga dilihat tidak membawa sebarang impak positif semasa menyarung jersi no.18 bersama Kedah musim ini.
Dia juga mula dianggap 'scammer' oleh peminat fanatik Sang Kenari gara-gara tag harganya mencecah RM1.9 juta yang tidak dianggap satu pembelian yang berbaloi dengan persembahan hambarnya setakat ini, ramai juga yang mendesak supaya Ronald Ngah segera digantikan dengan penyerang import baharu.
Dalam kejohanan Piala AFC 2022, Ronald Ngah berjaya membuat tiga penampilan berserta dua jaringan gol dan tiga assist manakala di Liga Super pula dia berjaya menjaringkan tujuh gol dalam sembilan penampilannya bersama Kedah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram