Polis tahan 'driver' jengkaut langgar MPV JPJ di Keningau


  • 112
  • Jumaat, 01 Jul 2022

Seorang lelaki nekad melanggar pacuan empat roda milik JPJ hingga terbalik menggunakan jengkaut. — Facebook

POLIS menahan seorang lelaki tempatan berusia 60an bagi membantu siasatan kes menghalang dan menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam iaitu anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan kewajipannya, dalam kejadian di Keningau, Sabah pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, polis menerima laporan kejadian itu pada pukul 6.32 petang Khamis dan siasatan awal mendapati anggota JPJ Cawangan Keningau menahan dan membuat pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan berat jenis pengorek kaut (backhoe) yang mencurigakan.

"Pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat kesalahan. Semasa saman hendak dikeluarkan pemandu tidak berpuas hati dan marah, dengan bertindak melanggar kenderaan pasukan JPJ yang dinaiki petugas hingga menyebabkan kerosakan pada kenderaan tersebut.

"Petugas (JPJ) sempat menyelamatkan diri dan tiada kecederaan terhadap petugas semasa kejadian. Polis menahan pemandu lelaki tempatan itu dan merampas kenderaan ‘backhoe’ tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 186/353 dan 427 Kanun Keseksaan.

Nor Rafidah turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai video kejadian tersebut yang tular di media sosial, yang akan menggangu siasatan pihak polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram