PEMAIN keturunan Indonesia, Jordi Amat, tampil memberi penjelasan mengenai keputusannya menyertai Johor Darul Takzim (JDT).
Jordi yang berusia 30 tahun itu memuat naik penjelasannya menggunakan bahasa Indonesia.
Tindakan itu dilakukan susulan ramai rakyat Indonesia menolak keputusannya untuk bermain bersama JDT.
Malah, ramai yang menuduh Jordi hanya menggunakan pasport Indonesia untuk mengisi kuota pemain Asia JDT.
Bukan itu sahaja, Jordi juga dianggap tergoda dengan tawaran gaji lumayan di JDT berbanding kelab Eropah yang lain.
Sebelum ini dilaporkan, Jordi didakwa meminta gaji RM 6,599,700 sebulan.
Menepis segala dakwaan mengenai penghijrahannya, Jordi segera memberi penjelasan selepas menandatangani secara rasmi oleh JDT pada Rabu.
Menerusi laman Instagramnya, Jordi menegaskan dia langsung tidak mahu menjadikan Indonesia sebagai batu loncatan ke Malaysia.
Jelasnya, perjalanan kerjayanya ke JDT bukan semata-mata kerana wang namun dia memilih skuad Harimau Selatan kerana mahu muncul dalam saingan peringkat tinggi Asia iaitu Liga Juara-Juara Asia 2022.
Selain itu, faktor terbesar dia menyertai JDT adalah kerana jarak perjalanan dengan Indonesia juga sangat singkat di mana keluarganya juga masih berada di Makasar.
Malahan, hal itu akan turut memudahkan beliau menyertai pasukan kebangsaan Indonesia jika diperlukan.
Menurutnya, sebelum membuat keputusannya itu, dia mendapat banyak nasihat daripada rakan-rakannya.
Tangkap layar penjelasan Jordi berhubung penghijrahanya ke JDT.
“Perkara pertama yang ingin saya jelaskan adalah semua tuduhan palsu terhadap saya, yang mengatakan saya ingin menggunakan pasport Indonesia semata-mata untuk dapat bermain sebagai kuota Asia dalam pasukan baharu saya JDT,” tulis Jordi Amat di Instagram, Rabu.
“Saya menyertai JDT bukan sahaja kerana wang, saya menyertai Johor adalah atas usaha saya menyesuaikan diri di Asia dan lebih dekat dengan Indonesia. Ia membolehkan saya terus bersaing di peringkat tertinggi bola sepak Asia, kerana JDT bersaing dalam ACL, Liga Juara-Juara Asia," sambungnya.
"Saya harap semua rakan menghormati keputusan saya meninggalkan Eropah, keluarga dan rakan-rakan. Saya fikir telah lakukan perkara yang betul ke arah perjalanan baru bola sepak dalam hidup saya," demikian akhiri Jordi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram