PASUKAN Johor Darul Takzim (JDT) dalam kenyataannya pada Isnin mengumumkan akan memenandatangani empat pemain baharu untuk menambah kekuatan skuad pada jendela perpindahan pertengahan musim.
Menurut Alistair Edwards, Pengarah teknikal JDT menerusi media sosial rasmi JDT, dua pemain baharu itu adalah pemain tempatan manakala dua lagi pemain bakal mengisi kuota import.
Namun, sehingga kini masih tiada kenyataan rasmi daripada pihak JDT mengenai individu yang dimaksudkan dan khabar angin mengenai pemain baharu masih menjadi teka-teki dalam kalangan penyokong Harimau Selatan.
Susulan pengumuman berkenaan, penyokong semakin rancak mengaitkan beberapa pemain terkenal yang bakal menambah kekuatan pasukan dibawah kendalian Benjamin Mora itu.
Berikut adalah senarai pemain yang bakal menyarung jersi Harimau Selatan pada jendela kedua perpindahan:
1) Gonzale Cabrera
Gambar sosok tubuh belakang seorang pemain JDT yang dimuat naik dalam hantaran Facebook rasmi, Johor Southern Tigers.
Sejak gambar belakang sosok tubuh seseorang pemain JDT pada Mei lalu tersebar, nama Gonzale Cabrera menjadi pemain yang dikaitkan akan menyertai semula skuad itu sebagai pemain sayap kiri.
Cabrera yang sebelum ini bermain untuk JDT selama lima musim berjaya menyumbangkan 43 gol sepanjang bersama JDT dalam saingan Liga Super dan juga 66 gol dalam semua pertandingan tatkala membuat 152 penampilan sejak musim 2017.
Ada juga penyokong yang mendakwa Cabrera bakal kembali ke JDT sebagai pemain naturalisasi berikutan pemain berasal dari Argentina itu sudah beraksi di liga domestik Malaysia selama lima musim.
2) Jordi Amat
Bekas pertahanan Swansea itu dikhabarkan sudah melengkapkan proses naturalisasinya pada 15 Mei lalu serta berada dalam radar pasukan Harimau Selatan.
Baru-baru ini, media Indonesia, Gosball menyatakan pemain pertahanan Eropah yang didakwa baru sahaja dinaturalisasikan oleh Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Jordi Amat dilaporkan akan menyertai pasukan JDT sebagai slot pemain import Asean kerana telah berstatus warganegara Indonesia.
Pengalaman Jordi beraksi bersama kelab Eropah seperti Swansea dan KAS Eupen boleh membantu menguatkan JDT untuk perlawanan Liga Juara-juara Asia (ACL).
Bersama kelab KSA Eupan, Jordi telah turun hampir 27 perlawanan sebagai kesebelasan utama dan menjadi kapten buat kelab Belgium itu.
Bagaimanapun, Jordi menafikan khabar angin yang mengatakan beliau akan menyertai JDT selepas kontraknya bersama KAS Eupen tamat pada 30 Jun ini kerana beliau mahu menyelesaikan segala proses dokumentasi bagi menjadi warganegara Indonesia.
3) Kobe Jae Chong
Kobe baru sahaja dilepaskan oleh kelab Championship Inggeris, Peterborough United.
Pemain warisan negara, Kobe Jae Chong dikhabarkan merupakan rekrut terbaharu JDT kerana pemain itu disebut-sebut menyertai kelab Liga M selepas kontraknya dengan kelab di Liga Kejuaraan England, Peterborough United tidak disambung.
Pemain kacukan Malaysia-Jamaica itu pernah memberitahu pada portal Harimau Malaya mengenai hasratnya yang ingin menyertai JDT ataupun Sri Pahang FC selepas meninggalkan kelab England, Peterborough United.
Pemain berumur 20 tahun itu disifatkan pelaburan yang cukup baik buat JDT kerana usianya yang cukup muda dan pengalamannya bermain di kelab Inggeris.
4) Nor Azam Azih
Azam nafikan dakwaan menyertai JDT kerana ingin fokus kepada Pahang.
Pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia kali ini, nama tonggak Sri Pahang FC, Nor Azam Azih dikaitkan sebagai rekrut baharu yang akan dibawa masuk pengendali JDT, Benjamin Mora.
Azam yang beraksi cukup cemerlang bersama Pahang sebagai pemain tengah dilihat cukup sesuai untuk membarisi JDT bersama Safiq Rahim, Nazmi Faiz dan Natxo Insa.
Namun, pemain berumur 27 tahun itu menafikan khabar angin itu dan menegaskan memberi sepenuh komitmen untuk membawa Sri Pahang melangkah lebih jauh dalam saingan Liga M musim ini.
5) Nurshamil Ghani
Nurshamil memenangi penjaring terbanyak pada musim lalu bagi saingan Liga Perdana.
Selepas memenangi gelaran penjaring gol terbanyak tempatan bagi saingan Liga Perdana musim lalu, penyerang Kelantan FC, Nurshamil Abdul Ghani dilihat sesuai untuk mengisi slot penyerang tempatan JDT.
Berbekalkan lima jaringan selepas sembilan perlawanan bersama Kelantan FC setakat ini, terdapat penyokong mengalu-alukan Nurshamil sebagai pemain JDT.
Musim lalu, Nurshamil menjaringkan sembilan gol untuk dinobatkan selaku penjaring terbanyak tempatan Liga Premier dengan penjaring terbanyak keseluruhan dimenangi Fernando Rodriguez (JDT II) dan Jordan Mintah (Terengganu FC II). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram