Berdepan Sri Pahang, Kim Swee 'menanti' Saddil Ramdani


  • Podium
  • Jumaat, 17 Jun 2022

Selepas menentang Sri Pahang FC pada Sabtu, Sabah FC akan berdepan dua lagi perlawanan yang sangat penting di tempat lawan, iaitu bertemu Selangor FC dan Negeri Sembilan FC.

PASUKAN Sabah FC mahu mengekalkan momentum kemenangan apabila berdepan dengan Sri Pahang FC dalam perlawanan Liga Super, yang akan berlangsung di Stadium Likas di Kota Kinabalu pada Sabtu.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, kemenangan itu penting untuk memastikan kedudukan pasukan itu sentiasa terjamin, apatah lagi Sabah FC akan beraksi di hadapan penonton sendiri nanti.

Beliau berkata, menjelang hari perlawanan, semua pemain berada dalam prestasi terbaik untuk diturunkan.

"Selain daripada itu semua pemain berada pada tahap yang cukup baik. Saddil (Ramdani) kita tahu bersama pasukan Indonesia baik pasukan Bawah 23, mahupun pasukan senior Indonesia.

"Beliau pasti mengalami sedikit keletihan tetapi kita akan lihat bagaimana daripada segi kepenatan Saddil ketika bersama pasukan Indonesia, untuk saya pertimbangkan sama ada beliau akan diturunkan ataupun tidak malam esok,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Kim Swee berkata, perlawanan dengan Sri Pahang FC pada Sabtu bukan sahaja untuk memastikan Sabah FC terus mencapai momentum kemenangan berterusan, tetapi juga cuba mempamerkan aksi cemerlang ketika bermain di gelanggang sendiri.

Katanya selepas menentang Sri Pahang FC esok, Sabah FC akan berdepan dua lagi perlawanan yang sangat penting di tempat lawan, iaitu bertemu Selangor FC pada 28 Jun manakala Negeri Sembilan FC pada 3 Julai depan dan beliau menaruh harapan anak-anak buahnya dapat mencapai keputusan yang lebih positif.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perlawanan persahabatan antarabangsa di Indonesia baru-baru ini, Kim Swee berkata, tempoh rehat selama sebulan, digunakan sebaik-baiknya oleh Sabah FC bagi mendapatkan kombinasi serta memperbaiki apa juga kelemahan yang ada.

"Kita percaya selepas tiga perlawanan di Indonesia, Sabah FC telah mempelajari banyak aspek dari segi kekuatan dan kelemahan, jadi ini penting untuk kita bersiap sedia menghadapi pasukan Sri Pahang FC malam esok,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram