PERSOALAN mengenai kedudukan Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) bersama Johor Darul Takzim (JDT) akhirnya terjawab selepas beliau berjanji akan kekal menjaga kelab bola sepak miliknya itu ‘buat selama-lamanya’.
Ikrar tersebut dilafazkan oleh pemilik JDT tersebut dalam satu sesi dialog pengurusan kelab bersama penyokong dan media yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Isnin.
Menurut TMJ, langkahnya menarik balik hasrat meninggalkan pengurusan pasukan sebelum ini dibuat kerana merasakan tempoh 10 tahun sudah cukup terutamanya selepas melihat pelbagai rekod dan kejayaan berjaya diraih.
"Saya sebenarnya dah 10 tahun dalam bola, jadi saya agak penat juga kerana saya banyak keluarkan duit saya sendiri. Sedangkan [duit] ini adalah satu hari nanti untuk anak saya," ujar Pemangku Raja Johor tersebut menjawab persoalan dilontar seorang penyokong mengenai keputusannya untuk kembali menerajui JDT.
"Tapi bila berkaitan Covid-19 dan situasi ekonomi yang ada sekarang ini kadang-kadang penaja tarik balik [tajaan], mereka tak jadi taja dan seterusnya, terpaksa saya yang tambah.
"Contohnya duit bonus, 100 peratus saya yang tanggung, bukan duit penaja. Duit penaja hanya cukup untuk bayaran gaji, penyelenggaraan stadium dan seterusnya.
"Jadi saya pun letih la juga, saya pun manusia. Dah 10 tahun saya ingatkan semuanya okay, saya nak berehatlah sedikit.”
Namun menurut TMJ, beliau akur dengan titah ayahanda Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang mahu beliau terus menerajui JDT bagi memartabatkan sukan bola sepak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Tetapi saya menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku [Sultan Ibrahim] di mana dia suruh saya jadi ‘KSM’, kerja sampai mati. Bermakna sampai bila-bilalah saya ini akan ada dalam kelab bola sepak Johor Darul Takzim.”
"Semasa majlis di luar negeri selepas perbarisan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF), ke bawah Duli Tuanku bertitah kepada saya;
"Jadi saya terpaksa jaga negeri Johor dan jaga JDT ini buat selama-lamanya.”
Jawapan tersebut jelas menggembirakan penyokong JDT dalam sesi dialog berkenaan yang bertindak berdiri dan memberikan tepukan gemuruh kepada TMJ. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram