Penyokong, pengurusan Sri Pahang FC kena tegur, sama-sama jadi punca mendap di bawah liga


  • Podium
  • Isnin, 27 Jun 2022

Prestasi kurang cemerlang membuatkan penyokong naik berang dengan Sri Pahang FC. — Sri Pahang FC

KESABARAN penyokong Sri Pahang FC nyata tidak mampu dibendung selepas pasukan tersebut kecundang 0-3 ketika menentang Negeri Sembilan.

Berang dengan prestasi buruk skuad Tok Gajah di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada 25 Jun lalu, penyokong akhirnya meluahkan apa yang terbuku di hati.

Bagaimanapun, terdapat juga pandangan yang meletakkan kegagalan pasukan itu ke atas bahu pengurusan termasuk tahap kualiti pemain yang lemah.

"Bukan tiada duit untuk ambil pemain berkualiti, tetapi pihak pengurusan yang bodoh sombong ambil pemain serkap jarang semata-mata untuk cukupkan kuota.

"Mereka ambil pemain yang mengarut saja. Asalkan dapat komisen. Berbeza dengan JDT apabila mereka betul-betul cari pemain.

"Sebab itu habiskan duit pun tiada masalah kerana mereka membuat pelaburan jangka panjang," komen Mat Kilau Moden di Facebook.

Pada masa sama, ada juga yang berpendapat pihak pengurusan Pahang tidak memiliki perancangan kukuh dalam perlawanan.

"Mereka yang duduk dalam pengurusan Pahang memang tiada jiwa bola sepak. Pilih jurulatih mesti ikut apa saja kata pengurusan dan tidak boleh membantah atau komen apa-apa mengenai pengurusan. Pasukan Pahang jatuh punca daripada pengurusan visi dan misi yang kurang jelas," kata Azizulismayatim Zul.

pahang

Tangkap layar komen mengenai pengurusan Sri Pahang FC. — Facebook

"Sebab itu kita seharusnya cari jurulatih dulu baru pemain. Ini tidak cari pemain baru putuskan jurulatih. Memang susah nak beraksilah, tengok JDT jurulatih dulu kemudian baru fikir soal pemain. Pemain Pahang sudah cukup kuat, tetapi cuma formasi yang tidak kena," kata Mohd Yusrii.

Sementara itu, memetik perkongsian Mohd Suria Hogoh Gadgets di Facebook Sri Pahang FC, beliau menyuarakan pandangan berbeza.

Katanya, penyokong seharusnya tidak boleh meletakkan kesalahan ke atas jurulatih, Christophe Gamel atas prestasi Sri Pahang FC dalam Liga Super 2022.

"Jurulatih tidak mempunyai banyak pilihan. Pasukan ini baru dan perlu dibimbing serta memerlukan masa yang panjang. Kita tidak boleh dapat keputusan jangka masa pendek.

"Saya rasa kegagalan Pahang disebabkan kekurangan pemain yang berkualiti dan baik. Disebabkan bajet pasukan, mungkin kurang dan tidak mampu membeli pemain baik," jelasnya.

Beliau juga menyifatkan insiden penyokong mengeluarkan kata-kata kesat dan memarahi pemain adalah satu tindakan tidak wajar.

sokong pahang1

Tangkap layar pandangan mengenai prestasi Sri Pahang FC yang semakin merosot. — Facebook

"Cuba fikir setiap kali habis perlawanan pemain Pahang dan jurulatih akan datang kepada penyokong tidak kira sama ada menang atau kalah.

"Kita pula marah dengan mereka, adakah perkara itu akan menaikkan semangat mereka atau melemahkan. Saya tidak salahkan penyokong, tetapi tindakan itu seperti membuka aib sendiri di tempat lawan," jelasnya.

Sri Pahang FC berada di kedudukan terendah selepas Melaka United dengan mencatat lapan mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram