'By hook or by crook, Kedah kena menang!' 2 'ex-coach' bagi sokongan padu


  • Podium
  • Isnin, 27 Jun 2022

Antara aksi perlawanan KDA FC menentang Bali United baru-baru ini. — Agensi

SELEPAS tewas 0-2 kepada Bali United dalam aksi pertama pada Jumaat lalu, skuad Kedah Darul Aman (KDA) FC kini perlu menamatkan kempen Piala AFC 2022.

Pada Isnin, skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak perlu turun dengan misi wajib menang ke atas Kaya FC, bagi menghidupkan peluang untuk meneruskan kemaraan ke peringkat seterusnya.

Mengulas mengenai taktikal perlawanan, Ramon Marcote berkata, tiada siapa yang lebih baik berbanding jurulatih itu sendiri untuk mengenal pasti bagaimana Kedah harus berdepan dengan perlawanan seterusnya.

1569323

Ramon berkata, beliau tidak boleh bercakap tentang barisan pemain kerana tidak mengetahui keadaan fizikal mereka.

Apa yang lebih penting, bekas jurulatih Kedah itu berkata, pasukan itu perlu bercita-cita tinggi, lebih berani, lebih agresif dan lebih banyak melakukan serangan.

"Saya tidak boleh bercakap mengenai barisan pemain kerana saya tidak tahu keadaan fizikal mereka, namun saya rasa pendekatan taktikal perlu ditekankan sebagai inisiatif dan lebih dekat dengan kawasan lawan untuk dapatkan lebih banyak minit permainan," katanya kepada Majoriti.

Seorang lagi bekas ketua jurulatih Kedah menganggap bahawa Aidil sudah mengkaji atau melakukan 'homework' selain mengetahui tentang apa yang perlu dilakukan.

Azraai Khor Abdullah berkata, Aidil juga pada masa sama sudah tentu mengetahui kelemahan dan kekuatan pasukannya serta pasukan lawan.

"Bagi saya, beliau bukan baru bawa (kendali) team. Dia pun dah ada sejarah dan sebagainya.

"Itu (pengalaman) yang perlu diletakkannya selain meletakkan pemain yang sesuai pada posisi masing-masing, sudah tentu mereka akan menyerlah pada malam itu," katanya.

Sebagai pihak ketiga, Azraai berkata, beliau menegaskan bahawa adalah tidak adil untuk memberitahu Aidil tentang sebarang taktikal yang mahu digunakan.

"Sebagai jurulatih kita ada etika. Dan sebagai senior dan orang lama, saya takkan sentuh tentang taktikal.

"Taktikal baik atau tak baik itu atas jurulatih tersebut. Saya rasa untuk tahap ini, dia tahu apa yang perlu dilakukan," jelasnya.

SEREMBAN 08 MAC 2018. Jurulatih baru Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah ketika sesi latihan skuad Negeri Sembilan di padang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seremban 3. STR/ADZLAN SIDEK

Azraai berkata, sesebuah pasukan yang mantap adalah yang mempunyai kekuatan seimbang. — NST

Ketika ditanya mengenai perubahan barisan pemain, Azraai berkata, perkara itu tertakluk kepada Aidil.

Tambahnya, gandingan serangan perlu dimantapkan untuk mewujudkan ruang menjaringkan gol selain memantapkan bahagian pertahanan.

"Sesebuah pasukan yang mantap adalah yang mempunyai kekuatan seimbang termasuk penyerang dan pertahanan.

"Pasukan Kedah tiada pilihan. By hook or by crook (mahu atau tidak), kita kena menang untuk lanjutkan kita punya perjalanan ke peringkat seterusnya.

"Kita ada dua game in hands (dua perlawanan yang perlu dihadapi) , inilah peluang untuk kita qualify (layak) ke pusingan kedua," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram