Dua-dua main tak bagus, tapi ada sebab Bali United menang — 'ex-coach' Kedah


  • Podium
  • Sabtu, 25 Jun 2022

JARINGAN sendiri Ronald Ngah (tengah) turut menambah derita skuad Kedah ketika ditewaskan Bali United 0-2 dalam aksi pembuka tirai Kumpulan G kempen Piala AFC 2022 pada Jumaat. — KDA FC

KEGAGALAN Kedah mengutip tiga mata sulung ketika berdepan Bali United FC dalam aksi pembuka tirai Kumpulan G, kempen Piala AFC 2022 di Stadium Capt. I Wayan Dipta, Bali, Indonesia pada Jumaat bukan saja mengecewakan seluruh peminat fanatik Hijau Kuning, malah bekas pengendali Kedah, Ramon Marcote.

Menurut Ramon, kedua-dua pasukan dilihat gagal mempamerkan aksi terbaik dalam pertemuan itu, namun pada masa sama tuan rumah dilihat berjaya memanfaatkan peluang sebaik mungkin sebelum menundukkan Kedah dengan kemenangan selesa 2-0.

"Dua-dua pasukan tidak kira Kedah atau Bali United sebenarnya tidak bermain dengan baik, cuma Bali United lebih menguasai bola serta memiliki peluang yang lebih bagus.

"Skuad Kedah tampak gagal mendominasi permainan serta menguasai kawasan serangan dan pertahanan.

"Apabila gagal mendominasi kawasan tengah, dua kawasan iaitu pertahanan dan serangan ketika memasuki kawasan lawan wajar dimanfaatkan sebaik mungkin, jadi ia jelas gagal disempurnakan barisan pemain Kedah," katanya kepada Majoriti.

Dalam pertemuan itu, Bali United yang juga juara bertahan Liga 1 Indonesia kekal utuh menerajui Kumpulan G menerusi jaringan sendiri oleh Ronald Ngah Wanja pada minit ke-45 pada separuh masa pertama sebelum jaringan pemain tuan rumah, Muhammad Rachmat pada babak kedua menyaksikan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak kempunan untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata.

Mengulas lanjut, Ramon memberitahu, anak-anak buah Aidil Sharin terutamanya pemain baharu juga dilihat masih mencari-cari faktor keserasian dalam beraksi sebagai satu unit kompak.

"Pemain baharu belum memiliki masa yang cukup untuk mendapatkan persefahaman, jadi kita perlu memberikan mereka lebih banyak masa untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

"Cuma pada masa sama, Kedah harus segera mendominasi baki perlawanan untuk mendapatkan keputusan yang lebih positif selepas ini.

"Suka atau tidak, Bali United berjaya melakukan yang lebih baik pada malam ini (Jumaat)," jelas Ramon lagi.

Selepas bertemu Bali United, skuad Kedah dijadualkan bertemu kelab dari Filipina, Kaya FC–Iloilo pada Isnin (27 Jun) sebelum menutup tirai kempen AFC 2022 dengan menentang kelab Kemboja, Visakha pada Khamis (30 Jun). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram