JOHOR Darul Takzim (JDT) kembali ke puncak Liga Super apabila mudah mengatasi Selangor 5-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, pada Jumaat.
Keputusan itu menyaksikan JDT meraih 19 mata selepas tujuh perlawanan, satu mata di hadapan Sabah yang memiliki 18 mata dalam lapan perlawanan.
Gol pertama JDT dihasilkan oleh penyerang berbisa, Bergson Da Silva yang meletakkan skuad Harimau Selatan mendahului 1-0 sebelum Fernando Forestieri menggandakan kedudukan pada minit ke-24.
JDT semakin selesa hasil rembatan Leandro Velazquez dari luar kotak penalti pada minit ke-35 manakala Bergson menambah gol keempat buat JDT pada minit ke-54.
Bagaimanapun, Selangor akhirnya mencetak gol menerusi Nor Hakim Hassan pada minit ke-82.
Mohamadou Sumareh melengkapkan kemenangan JDT apabila menanduk masuk gol hasil hantaran Safawi Rasid dalam masa tambahan.
Berikut adalah lima poin yang menjadi buah mulut penyokong bola sepak terhadap persembahan yang ditunjukkan kedua-dua pasukan dalam perlawanan tersebut.
JDT memiliki mentaliti bermain untuk menang yang sebenar. — Facebook
1) JDT berada dalam kelas tersendiri
Kemenangan 5-1 JDT ke atas Selangor membuktikan skuad kendalian Benjamin Mora itu terlalu bagus buat pasukan Selangor.
Rata-rata penyokong juga menyifatkan jaringan yang dihasilkan JDT bertaraf dunia.
Mereka merasakan kunci kejayaan JDT adalah tahap disiplin dan konsistensi yang tinggi dan bermain ibarat bertemu lawan di peringkat final.
"Walaupun lawan team tercorot sekalipun, JDT akan lawan bersungguh-sungguh tanpa belas kasihan. Teruskan mentaliti menang yang sebenar," kata Merah Biru Darahku.
Rekod pertemuan head-to-head antara JDT dan Selangor FC sejak 2013. — Facebook
2) Masih jauh untuk Selangor pulih reputasi
Kali terakhir Selangor menewaskan JDT ialah pada tahun 2013. Gelaran King of Malaya buat skuad kendalian Michael Feichtenbeiner itu hanya tinggal kenangan.
Berdasarkan rekod pertemuan head-to-head dari 2013, JDT mencipta enam kemenangan melalui 10 pertemuan. Tiga lagi menyaksikan kedua-dua pasukan seri.
Dengan kemenangan terbaharu ini, penyokong The Red Giants merasakan reputasi Selangor masih jauh untuk pulih bagi mengejar kualiti permainan yang dipamerkan skuad JDT.
Khairulazhan menampilkan persembahan hambar semasa pertemuan dengan JDT pada Jumaat. — Facebook
3) Khairulazhan flop
Persembahan yang ditunjukkan oleh penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid begitu mengecewakan penyokong.
Ada yang merasakan pemain berusia 32 tahun yang turut membarisi skuad Harimau Malaya tidak sepatutnya diturunkan menentang JDT yang sedia diketahui sebagai pasukan kuat.
"Sign penjaga gol baharu, Sam Sommerville tapi perap dan tetap guna keeper yang flop daripada musim lepas. Hasilnya tengok berapa banyak Selangor bolos," kata Herfizul Akma.
"Tiga gol JDT semuanya dari luar kotak. Dalam situasi ini, nak tak nak, keeper perlu bertanggungjawab. Tidak kiralah sama ada gol itu bertaraf dunia atau tidak, ia dihasilkan dari luar kotak," ujar Axello Riise.
Skuad Gergasi Merah dirasakan tidak bersedia bermain dalam tempo tinggi JDT. — Facebook
4) Taktikal Selangor tak clear
Penyokong Selangor juga merasakan skuad itu tiada pelan taktikal yang jelas walaupun ada formasi yang diketengahkan oleh Feichtenbeiner.
Selangor dilihat bertahan dengan formasi 4-5-1 atau 5-4-1, namun tiada pressing yang betul daripada pemain sebaliknya anak buah jurulatih Jerman itu bermain dalam keadaan merapu.
Skuad Gergasi Merah juga dirasakan tidak bersedia bermain dalam tempo tinggi yang menyaksikan pemain ibarat terkejut dengan apa yang dipersembahkan oleh JDT.
"Pemain tak agresif keluarkan bola dari zon bahaya sebab mereka fokus kepada bentuk formasi. Yang banyak foul tu lebih kepada agresif akibat kecewa kerana hilang bola," ujar Axello Riise.
Sharul Nazeem atau dikenali sebagai Afro (kanan) antara pemain yang dianggap masih mentah untuk diturunkan menentang JDT. — Facebook
5) Pemain Selangor kurang pengalaman
Selain faktor formasi, penyokong turut merasakan kekurangan pengalaman beraksi menjadi punca kekalahan Gergasi Merah.
Ini kerana sebahagian pemain yang diturunkan dalam kesebelasan utama adalah pemain-pemain muda jika mahu dibandingkan dengan lawan sekuat JDT.
Pemain import dari Ghana, Alex Agyarkwa, 20, dan Hein Htet Aung, 20, dari Myanmar masih hijau berbanding import JDT yang jauh lebih matang dan berpengalaman.
Selain itu, empat ubi Selangor yang diturunkan iaitu Mukhairi Ajmal, 20; Sharul Nazeem Zulpakar, 22, Zikri Khalili, 19, dan Quentin Cheng, 22, juga dirasakan masih muda untuk menjinakkan Harimau Selatan.
Peminat menganggap bukan mereka tidak bagus tetapi masih terlalu mentah untuk menyaingi JDT yang sudah berada dalam kelas tersendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram