SKUAD Hijau Kuning memulakan kempen Piala AFC 2022 dengan langkah kiri dalam Kumpulan G apabila tewas 0-2 dengan juara bertahan Liga 1 Indonesia, Bali United FC di Stadium Capt. I Wayan Dipta, Bali, Indonesia pada Jumaat.
Jaringan sendiri oleh Ronald Ngah Wanja pada minit ke-45 pada separuh masa pertama sebelum jaringan pemain tuan rumah, Muhammad Rachmat pada babak kedua menyaksikan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak gagal mengutip sebarang mata dalam perlawanan pertama.
Al-Mardi beraksi cemerlang tapi tiada sokongan pemain lain. — Facebook
Dua pemain import baharu pasukan Kedah tidak menunjukkan sebarang impak positif dalam corak permainan skuad Sang Kenari apabila tidak banyak membuat ancaman bahaya ke kawasan penjaga gol Bali United, Nadeo Argawinata.
Hampir kesuluruhan perlawanan banyak dikuasai oleh pasukan tuan rumah cuma Kedah bernasib baik yang mana percubaan mereka tidak tepat dan hanya dua gol yang terhasil dan salah satunya melalui jaringan sendiri Ngah Wanja.
Pada separuh masa kedua pula Muhammad Rachmat menambah derita pasukan Kedah apabila dia berjaya menjaringkan gol pada minit ke-82 melalui satu tandukan terbang hantaran Privat Mbarga dari sebelah kanan.
Peminat mengatakan taktikal 'direct football' Aidil sudah tidak relevan. — Facebook
Di ruangan komen Facebook rasmi Kedah Darul Aman FC, rata-rata penyokong Hijau Kuning tidak berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan oleh pemain-pemain Kedah dan ada juga mengatakan taktikal 'direct football' Aidil sudah tidak relevan.
"Gameplay macam apa sahaja, main seperti tak ada hala tuju," kata Muaz Aziz.
"Pertahanan dah okay, cuma bila nak buat serangan jadi macam tak tahu apa-apa. Lambat untuk buat hantaran bola kepada rakan, untuk pemain import pula Mahmoud Al-Mardi bermain dengan bagus manakala pemain Thailand itu tak tahu sama ada 'copy' ataupun 'original'," tulis Mohd Asri.
"Lama dah Aidil pegang tak nampak sangat taktikal dia, mungkin pihak pengurusan Kedah dah boleh tukar jurulatih baharu. Pemain Malaysia ada cakap jurulatih pun penting dalam corak permainan," jelas Safuan Osman.
"Dari corak dan skil individu ini bukan salah pemain, ini masalah jurulatih macam pasukan Harimau Malaya juga, pemain yang sama tapi jurulatih tukar baru boleh menang dan layak ke Piala AFC 2023," ujar Nicklas Nasution.
"Betul cakap pengulas Indonesia, Mahmoud Al-Mardi hebat tapi langsung tak ada sokongan pemain lain untuk bawa bola ke hadapan, pemain-pemain muda pula bila tak ada bola semua macam tiang tunggu bola sampai," luah Hafiz Baharudin.
Jaringan sendiri oleh Ronald Ngah Wanja menambah derita pasukan pelawat. — Facebook
Pasukan Kedah dijadualkan bertemu kelab dari Filipina Kaya F.C.–Iloilo pada Isnin (27 Jun) sebelum menutup tirai kempen AFC 2022 dengan menentang kelab Kemboja, Visakha pada Khamis (30 Jun). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram