KEMUNCULAN lemak perut bukan sahaja memburukkan penampilan, malah ia boleh menjadi petanda masalah kesihatan yang kronik.
Menurut ahli psikologi dan pakar diet, David Creel, lemak perut atau lemak visceral adalah jenis lemak yang paling berbahaya.
Penyelidik telah membuktikan bahawa, lemak perut yang berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit metabolik seperti diabetes, penyakit jantung, sindrom ovari polikistik dan penyakit hati berlemak.
Namun malangnya, tindakan membuang lemak perut tidak semudah membuang lemak di bahagian badan yang lain.
Malah, melakukan aktiviti sukan yang memfokuskan pada otot perut tidak semestinya boleh membuang lemak perut.
"Sekadar melakukan sit up tidak serta-merta menghilangkan lemak perut. Senaman jenis ini hanya menguatkan otot perut," katanya.
Untuk menghilangkan lemak perut, kita boleh melakukan perkara berikut:
1. Kurangkan tekanan
Jika anda berasa tertekan, badan anda berkemungkinan mengeluarkan hormon stres kortisol ke dalam aliran darah anda.
Kortisol yang berlebihan juga akan meningkatkan lemak visceral.
Oleh itu, anda disarankan agar anda melakukan aktiviti seperti yoga dan meditasi.
"Sebagai tambahan kepada kesan kortisol, apabila tertekan kita cenderung menambah makanan yang boleh meningkatkan lemak badan," kata Creel.
2. Makan lebih banyak serat
Makan makanan berserat tinggi seperti kacang ayam, kekacang dan pisang boleh membantu anda berasa kenyang lebih lama.
Makanan ini mengandungi jumlah serat larut yang tinggi, yang boleh melambatkan perjalanan makanan dari perut ke usus dengan melarutkannya dalam air dan membentuk gel bergetah.
"Jika anda makan lebih banyak serat, selera makan anda akan lebih terkawal," kata Creel.
3. Pengambilan protein
Pastikan anda menambah protein dalam diet anda.
Yogurt antara protein terbaik dalam pemakanan seseorang. — Gambar hiasan
Protein membantu anda berasa kenyang, merendahkan tahap hormon lapar, dan juga membantu anda makan lebih sedikit pada hidangan seterusnya, menurut kajian.
"Kita boleh makan makanan berprotein tinggi seperti yogurt, daging, ikan, atau kacang," kata Creel.
4. Pengambilan karbohidrat kompleks
Karbohidrat yang ditapis seperti roti putih, pasta, kerepek dan keropok mempunyai sedikit serat dan boleh menyebabkan gula dalam darah anda meningkat.
Oleh itu, pilih karbohidrat kompleks seperti roti gandum, pasta penuh, beras perang dan kekacang.
Roti gandum antara karbohidrat kompleks yang baik. — Gambar hiasan
"Makan protein tanpa lemak, banyak sayur-sayuran, jumlah buah yang sederhana, jumlah bijirin penuh dan produk tenusu rendah lemak akan membantu anda membuang lemak perut," tambah Creel. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram