Bakal 'striker' Sabah FC kurang meyakinkan


  • Podium
  • Rabu, 22 Jun 2022

Embalo dikatakan hanya mencetak tujuh gol menerusi 28 penampilan sepanjang musim 2021/2022. — Facebook

PENYERANG Guinea Bissau, Jose Embalo dikhabarkan bakal menggantikan Neto Pessoa sebagai penyerang Sabah FC.

Khabar angin perpindahan pemain berusia 29 tahun kelahiran Lisbon, Portugal itu dikongsikan Facebook Malayantigerfans pada Selasa.

"Dikhabarkan penyerang Sabah FC bakal dilepaskan dan penyerang import baharu dalam perancangan kelab," katanya.

Berita khabar angin perpindahan pemain berketinggian 1.88 meter itu ke skuad The Rhinos bagaimanapun seolah-olah tidak mengujakan segelintir penyokong.

Ini berikutan prestasinya yang dikatakan kurang memberangsangkan dengan hanya tujuh jaringan menerusi 28 penampilan sepanjang musim 2021/2022.

"Skrip sama setiap musim penyerang import akan bertukar ganti. Tiada expection tinggi buat dia ni...28 game tujuh gol," kata seorang penyokong, Kurt Serpico di laman Facebook penyokong Sabah Supporters Club.

"Ganti punya ganti dapat yang lagi teruk macam tahun lalu. Alang-alang kasi habis (Pessoa) satu musim," tambah Ray Xavi.

Sebelum ini, penyokong Sabah kecewa apabila Pessoa dikatakan gagal mempamerkan aksi cemerlang secara konsisten bagi musim ini.

Berdasarkan laman web transfermarkt.com, Embalo kini berkhidmat untuk kelab Liga Armenia iaitu Alashert Yerevan FC dengan bermain di bahagian serangan.

Dia pernah ditawarkan ke kelab Indonesia, Persebaya Surabaya namun dilaporkan tidak menjadi kenyataan kerana kerana nilai perpindahannya tinggi.

"Disahkan bahawa Embalo memang ditawarkan ke Persebaya Surabaya tapi tidak sesuai dengan bajet (mahal),” demikian menurut Instagram @liga_dagelann, seperti dipetik portal TribunWow.com pada 28 April lepas.

Nilai pasarannya menurut transfermarkt.com ialah 250,000 Euro (RM1.16 juta) setakat 14 Jun 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram