'Politik punya pasal, habis bola sepak Kelantan terpalit sama'


  • Podium
  • Selasa, 21 Jun 2022

Jangan terlalu mudah buat persepsi negatif mengenai kegagalan mana-mana kelab bola sepak Kelantan. — TRW

MASALAH kekurangan fasiliti sukan di Kelantan didakwa menjadi antara faktor mengekang pasukan bola sepak negeri itu terutamanya Kelantan FC dan Kelantan United untuk lebih maju dan berdaya saing berbanding mana-mana kelab dari negeri lain.

Pemerhati sukan, Zuraimi Zukri dalam satu status di Facebook berkata, tanggungjawab pemerintah kerajaan negeri khususnya Kelantan perlu berada dalam keadaan terbaik demi menjamin kejayaan sesebuah pasukan bola sepak.

bola kelantan

Tangkap layar komen Zuraimi Zukri

"Kesian pasukan dari Kelantan kena hadap masalah sama kerana pemerintahan tempatan gagal menyediakan fasiliti untuk memajukan sukan.

"Ya, sukan tak penting, tetapi ia mencerminkan efisyennya sesebuah pemerintahan apabila fasiliti sukan atau fasiliti lain sentiasa berada dalam keadaan terbaik," katanya.

Namun, kenyataan Zuraimi dinafikan oleh seorang lagi pemerhati sukan, Asan Ahmad yang menyifatkan ia sebagai satu fitnah dan luahan mengikut emosi semata-mata.

Jelas beliau, perkara tersebut seharusnya tidak berlaku sekarang lebih-lebih lagi apabila pasukan The Red Warriors (TRW) pernah dijulang sebagai antara pasukan disegani suatu ketika dahulu.

"Sekiranya benar segala kemudahan itu menjadi tanda kegagalan, mengapa perkara tersebut dibangkitkan sekarang.

"Mengapa tidak dimaklum dahulu lagi sewaktu zaman kegemilangan pasukan itu yang mampu melahirkan ramai pemain hebat.

"Adakah ia sekadar permainan politik atau ada udang di sebalik batu," ujarnya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Asan Ahmad juga menggesa semua pihak agar jangan terlalu mudah membuat tafsiran tentang persembahan sesebuah pasukan.

"Kekuatan pemain bukan terletak dari segi hebatnya kemudahan, tetapi ia bergantung kepada pemain itu sendiri.

"Dibandingkan dengan fasiliti yang kurang kemudahan seperti Stadium Likas, Sabah. Kemudahan yang disediakan juga jauh berbeza dibandingkan dengan stadium yang ada di semenanjung," tambahnya lagi.

Asan Ahmad turut menasihatkan agar isu politik dan sukan tidak perlu dicampur aduk terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dikhabarkan akan diadakan pada bila-bila masa sahaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram