KETUA jurulatih Penang FC, Zainal Abidin Hassan mengakui pemain masih perlu sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan beberapa perubahan yang dibawanya sejak ditugaskan membimbing pasukan ini pada awal Jun.
Beliau sedar keputusan positif amat diinginkan oleh pasukan apabila masih kemarau kemenangan selepas sembilan perlawanan Liga Super setakat ini.
Namun, perlawanan pertamanya menentang PJ City FC, Sabtu lalu sejak dia mengambil alih posisi Thomas Trucha berakhir dengan keputusan seri dan bekas pengendali Melaka United FC ini menganggap barisan pemain masih perlu masa untuk menerapkan perubahan baharu.
“Memang tidak dinafikan senjata sulit Penang FC lebih kepada Casagrande,” ujar Zainal bercakap kepada Malaysian Football League.
“Benda baik bukan kata kekalkan tetapi kita mempelbagaikan lagi supaya lawan tidak dapat baca dan bukannya mudah untuk ikut seperti saya cakap sebab mereka masih baru dengan saya.”
“Mereka cuba juga buat sesuatu yang baru dan juga menggunakan senjata yang selalu digunakan iaitu untuk mencari Casagrande, dan Alhamdulillah menjadi apabila dia dapat menjaringkan gol.”
“Jadi, kena sebatikan benda ini dengan perubahan taktikal dan senjata yang memang sudah ada pada pasukan,” tambah Zainal Abidin lagi.
Selepas mengharungi sembilan perlawanan dalam saingan Liga Super Malaysia 2022, Penang menghuni tangga terakhir dengan mengumpul empat mata hasil empat keputusan seri dan lima kekalahan yang dicatatkan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram