Tidak peduli kecaman, Zainal ikhlas mahu bangkitkan Harimau Kumbang


  • Podium
  • Sabtu, 18 Jun 2022

Rekod Zainal Abidin ketika mengemudi Penang FC pada musim 2017 hanya mencatat tiga kemenangan daripada 16 perlawanan.

LEGENDA bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan akui beliau memikul tugasan berat untuk mengendali skuad Penang FC selepas dilantik semula sebagai ketua jurulatih baharu pasukan itu.

Zainal dilantik sebagai pengendali baharu skuad Harimau Kumbang selepas pihak pengurusan Penang FC membuat tindakan drastik dengan menghentikan khidmat Tomas Trucha.

Perlawanan menentang Petaling Jaya (PJ) City FC pada Sabtu merupakan aksi pertama Zainal bersama skuad itu dan beliau menanam impian untuk memenangi kemenangan pertama buat Penang FC dalam saingan Liga Super musim ini.

"Saya tidak terkejut atas lantikan ini tapi memikirkan kembali ia adalah satu tugas yang amat berat. Saya perlu terima hakikat bahawa saya kena bekerja lebih keras dari dan ini adalah satu cabaran untuk membangkitkan pasukan yang tertinggal bawah sekali.

"Apabila pengganti jurulatih memasukkan saya pasti harapan amat tinggi. Kemenangan amat diperlukan untuk membakar semangat pemain-pemain kerana mereka mempunyai beberapa belas perlawanan lagi untuk teruskan sebelum liga berakhir," katanya kepada Majoriti.

Penang berada di kedudukan tercorot carta liga ketika ini dengan merekodkan tiga seri dan lima kekalahan sepanjang lapan perlawanan Liga Super.

Saat ditanya mengenai kecaman sesetengah penyokong Penang FC atas lantikannya, Zainal berkata, beliau tidak mengambil peduli komen-komen dari orang ramai kerana tanggungjawab perlu diutamakan.

"Saya tidak boleh lari daripada kenyataan bahawa persembahan sebelum ini gagal. Jadi niat saya ikhlas apabila diberi kepercayaan untuk bangkitkan pasukan.

"Komen orang saya tidak kisah kerana saya harus menjalankan kerja walaupun pada asalnya pasukan ini bukan saya yang atur tetapi saya tidak larilah untuk perbaiki pasukan itu," jelas jurulatih yang pernah mengemudi Penang FC pada musim 2017.

skaud"

Latihan pasukan Liga Super Penang FC yang diadakan di Padang Awam Jawi, Sungai Jawi, Pulau Pinang.

Bagi memburu kemenangan pertama malam ini, Zainal menyediakan taktikal baharu buat anak-anak buahnya dan beliau turut mempertaruhkan pemain sedia ada Penang FC.

Tambahnya, mungkin agak sedikit sukar mendapat kemenangan pertama buat Harimau Kumbang berikutan kehebatan dan semangat yang ada pada barisan pemain PJ City FC.

"Saya tidak nafikan PJ City hebat dengan semua pemain tempatan. Mereka disatukan agak lama dan ada semangat yang tinggi.

"Saya tidak memandang rendah kerana kita tahu kehebatan mereka. Jadi pemain Penang perlu berwaspada dengan taktikal dan pemain terbaik mereka. Setiap pemain ada tugasan berat menanti mereka," katanya.

Menjelang pertembungan kedua-dua pasukan itu, Skuad Penang FC akan melayan kunjungan PJ City pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram