'FAM, jangan ganggu Kim Pan-gon'


  • Podium
  • Sabtu, 18 Jun 2022

Penyokong berharap FAM tidak akan mengambil Pau Marti sebagai jurulatih B23 kebangsaan. — Facebook FAM

PRESTASI teruk skuad Harimau Muda pada Piala Asia Bawah 23 (B23) membuatkan ramai penyokong bola sepak negara mendesak Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk merombak pemain dan barisan kejurulatihan pasukan muda negara.

Antara nama yang diseru-seru untuk berundur diri ialah Ketua Jurulatih B23, Brad Maloney walaupun semua maklum beliau masih mempunyai kontrak sehingga Disember 2023 bersama skuad Harimau Muda.

Menurut laporan, setelah Maloney selesai menyiapkan laporan lengkap prestasi pasukan dan diserahkan kepada Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell dalam masa terdekat maka nasib pengendali tersebut bakal diketahui secara rasmi.

Rentetatan isu itu, nama penolong jurulatih pasukan senior negara, Pau Marti Vicente disebut-sebut sebagai calon yang sesuai bagi menggantikan jurulatih dari Australia itu.

Perkara itu timbul disebabkan Pau Marti mempunyai pengalaman yang luas dalam melatih pemain muda bersama skuad B-18 Barcelona di negara asalnya, Sepanyol sebelum ini.

Namun, bagi penyokong kuat bola sepak negara, FAM tidak seharusnya mengganggu barisan kejurulatihan skuad senior kebangsaan kerana dikhuatiri tindakan badan induk bola sepak itu akan membawa masalah kepada pasukan utama Harimau Malaya.

"Kenapa nak ganggu barisan kejurulatihan skuad senior... FAM perlu tahu...Kim Pan-gon, meminta sendiri untuk memilih barisan pembantunya...Ini membawa makna, setiap jurulatih, mempunyai barisan team dia sendiri dalam mengendalikan sesuatu pasukan...Jika ia dipecahkan pasukan itu, maka akan berlaku masalah," kata Pejuang Cita Cita.

Apa yang dikatakan peminat itu ada benarnya kerana barisan kejurulatihan skuad senior sememangnya dipilih sendiri oleh Kim Pan-gon termasuklah Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Dr. Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi).

Baginya, daripada mengganggu pasukan Pan-gon, FAM sepatutnya merekrut individu baharu yang mempunyai gaya latihan sama dengan barisan kejurulatihan pasukan Harimau Malaya.

"Untuk B23, FAM perlu pilih jurulatih dan barisan jurulatih yang baru dan memiliki DNA yang sama dengan skuad senior agar berlaku kolerasi pembangunan DNA bola sepak negara.

"Bukan sahaja untuk B23, tetapi untuk B15/B19/AMD (Akademi Mokhtar Dahari) dan seterusnya.

"Pembangunan DNA bola sepak dari akar umbi sehingga pasukan senior perlu sama. Itu yang dilakukan oleh Vietnam dan Thailand.

"Jika jurulatih B23 yang baharu ingin membawa pembantu jurulatihnya sendiri. FAM perlu terima sebab setiap jurulatih ada team kerjanya sendiri. Keseluruhan kejurulatihan dan pembantu jurulatih B23 perlu ditukar," katanya.

Vietnam menggunakan khidmat jurulatih dari Korea untuk pasukan bola sepak kebangsaan mereka yang mana Gong Oh-kyun melatih skuad B23 negara itu manakala Park Hang-seo mengendali pemain senior.

Sebelum ini, Park Hang-seo mengambil keputusan untuk meninggalkan skuad B-23 tahun negara itu selepas membantu Vietnam mempertahankan pingat emas temasya Sukan Sea namun melepaskan jawatan itu kepada Oh-kyun.

Sekiranya FAM ingin mendapatkan DNA yang sama dengan Pan-gon untuk melatih skuad B23 kebangsaan, jurulatih berpengalaman dari Korea Selatan, Kim Hak-bum dilihat sebagai calon terbaik bagi menggantikan tempat Brad Maloney.

hakbum

Hak-bum merupakan antara nama yang disebut-sebut untuk menggantikan Tan Chen Hoe.

Dengan pengalaman Hak-bum mengendalikan pasukan muda Korea Selatan dilihat mampu menjadi antara faktor mengapa beliau layak menggantikan Maloney

Pencapaian tertinggi beliau adalah membawa pasukan Olimpik Korea Selatan mara sehingga ke pusingan suku akhir temasya tersebut pada edisi 2020 sebelum tewas di tangan Mexico.

Malah Hak-Bum juga dilihat sesuai berkerjasama dengan Pan-gon untuk meningkatkan bola sepak negara atas dasar kefahaman dan pengalaman mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram