PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2021 membuat keputusan untuk menangguhkan projek naturalisasi selepas mendapat kecaman dari penyokong bola sepak negara selepas prestasi hambar ditampilkan Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi.
Pada Selasa (14 Jun), pasukan Harimau Malaya berjaya mencipta sejarah layak ke Piala Asia 2023 dan ini membuatkan rata-rata peminat bola sepak seperti mahukan seorang pemain naturalisasi memperkuatkan skuad kebangsaan.
Calon individu import yang disebut-sebut oleh peminat ialah pemain kelahiran Colombia, Romel Morales yang kini sudah menetap di Malaysia selama lima tahun dengan menyertai beberapa pasukan di dalam Liga Malaysia (Liga M).
Penyokong mencadangkan Romel sebagai calon naturalisasi seterusnya. — Facebook
Sebelum ini, Ketua Pegawai Operasi KL City FC, Stanley Bernard berkata, pihak pengurusan Kuala Lumpur merancang untuk menaturalisasikan pemain yang berusia 24 tahun itu pada 2023.
“Memang itu dalam perancangan kami (menaturalisasikan Romel). Kita lihat dia memiliki potensi dan keperluan terhadap pasukan ini sebagai pengganti kepada pemain sedia ada walaupun posisinya kini berubah sebagai penyerang.
“Di posisi penyerang, dia boleh menjaringkan gol dan sebagai pemain tengah pun, dia boleh melakukan hantaran yang baik. Jadi kita lihat kemampuannya yang pelbagai untuk membantu pasukan," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas perkara itu, penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli berkata, perkataan naturalisasi sangat sensitif yang mana peminat tahu kegagalan dua pemain 'import' Harimau Malaya yang tidak memberikan sumbangan positif bagi skuad kebangsaan.
"Isu naturalisasi ini sangat sensitif dalam bola sepak negara macam yang kita lihat kehadiran De Paula dan Liridon gagal memberikan sebarang impak buat pasukan kebangsaan.
"Jadi jika benar penyokong mahukan Romel menjadi pemain naturalisasi Harimau Malaya, FAM perlu berhati-hati dalam menilai pemain itu supaya tidak mengulangi kesilapan sama.
"Tetapi jika pasukan KL City yang naturalisasikan pemain tersebut ini akan memberi nilai tambah buat pasukan Kuala Lumpur kerana boleh mengisi satu lagi kuota import buat The City Boys," katanya pada Majoriti.
Romel menetap di Malaysia selama lima tahun dengan menyertai pasukan PKNS FC, Melaka United dan KL City FC. — Facebook
Tambahnya lagi, rekod Morales dalam saingan Liga M juga boleh diguna pakai dalam membuat pertimbangan untuk naturalisasikannya kerana skuad Harimau Malaya juga tidak mempunyai ketinggian fizikal yang baik di bahagian serangan.
"Morales mempunyai fizikal yang bagus untuk diletakkan sebagai 'target man' pasukan kebangsaan, dengan usianya yang muda mungkin boleh menjadi aset jangka masa panjang buat skuad negara.
"Morales juga bukanlah seorang penyerang tulen, tetapi pemain tengah menyerang itu dibentuk untuk menjadi penyerang dan dia melakukan tugasnya dengan baik semasa membantu KL City menjuarai Piala Malaysia 2021," ujarnya.
Menurutnya lagi, FAM mungkin boleh mengambil modul dari Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang merujuk kepada Ketua Jurulatih kebangsaan keperluan pasukan itu di dalam skuad negara.
"Seperti di Indonesia, PSSI sekarang ini terlebih dahulu akan bertanya kepada 'head coach' apakah keperluan pemain tersebut di dalam skuad kebangsaan.
"Jika FAM 'smart' mungkin mereka boleh duduk semeja bersama Kim Pan-gon untuk merancang persiapan pasukan ini bagi menghadapi Piala Asia 2023, jika Pan-gon mahukan penyerang KL City membantu skuad kebangsaan FAM haruslah melakukan kerja dengan cepat," jelasnya.
Romel beraksi cemerlang pada kempen Piala Malaysia 2021. — Facebook
Romel sebelum ini berasksi cemerlang bersama KL City dan pernah merangkul anugerah penjaring terbanyak dengan 10 jaringan gol pada kejohanan Piala Malaysia 2021.
Pemain berusia 24 tahun ini pernah beraksi bersama pasukan PKNS FC dan Melaka Unitd sebelum menyertai KL City pada musim lalu di bawah kendalian Bojan Hodak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram