Sang Penyu sukar diduga — Bojan Hodak


  • Podium
  • Sabtu, 18 Jun 2022

Pemain TFC sedang menjalani latihan sebagai persediaan menentang KL City FC pada Sabtu. — Facebook TFC

PENGENDALI Kuala Lumpur City (KL City) FC, Bojan Hodak mengakui sukar untuk meraih tiga mata menentang Terengganu FC (TFC) yang dianggap sebagai salah satu pasukan terbaik Liga Super ketika ini.

Malah, Bojan juga menyifatkan skuad dibawah kendaliannya itu perlu melakukan percaturan terbaik untuk perlawanan yang akan diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, (SSMZA), Kuala Nerus, Terengganu itu.

Selepas sebulan saingan Liga Super berehat, perlawanan akan kembali berlangsung bermula Sabtu yang mana menyaksikan skuad KL City FC akan berkunjung ke halaman TFC.

Bagaimanapun, Bojan menjangkakan perlawanan yang cukup sengit akan dihadapi barisan pemain untuk meraih tiga mata memandangkan skuad dibawah kendalian Nafuzi Zain sering kali hadir dengan strategi yang sukar dibaca di atas padang.

“Kita tidak boleh nak cakap apabila kita lawan Terengganu, kita wajib menang tiga mata.

“Ini kerana bagi saya, mereka adalah pasukan yang terbaik dalam liga selepas JDT (Johor Darul Takzim) dan rasanya tiada lagi pasukan yang menang di tempat mereka.

“Jadi, ia akan menjadi perlawanan yang sukar dan kalau kami boleh dapat tiga mata, ia memang bagus untuk pasukan kami”, jelasnya.

bojan

Bojan akui TFC merupakan antara pasukan yang terkuat dalam saingan Liga Super.

Bercakap mengenai perkembangan pemain, Bojan lega tiada kecederaan baharu yang membabitkan pemain-pemain utama di mana Romel Morales juga semakin menunjukkan peningkatan selepas berdepan kecederaan sebelum ini.

Namun, pemain dari Colombia itu masih memerlukan masa untuk melihat dia beraksi secara konsisten seperti persembahannya pada Piala Malaysia 2021.

“Untuk sekarang, dalam enam perlawanan terakhir, kami dah menang empat aksi dan Romel juga dah datang balik selepas cedera, yang penting adalah kami tiada kecederaan baru.

“Romel sudah pulih sepenuhnya cuma untuk lihat dia bangkit seperti di Piala Malaysia perlu masa.

“Dua aksi terakhir dia bermain kita boleh nampak dia bertambah baik, jadi saya harap nanti dia mampu beraksi dengan cemerlang sepertimana di Piala Malaysia”, tambahnya.

Sementara itu, tiga lagi perlawanan yang akan berlangsung pada Sabtu membabitkan aksi antara Melaka United FC dan Negeri Sembilan FC, Sabah FC menentang Sri Pahang FC manakala Penang FC berdepan PJ City FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram