Bintang Filipina bakal mantapkan Tok Gajah


  • Podium
  • Khamis, 16 Jun 2022

Kevin ketika beraksi bersama Buriram United. — Agensi

PEMAIN tengah pasukan kebangsaan Filipina, Kevin Ingreso secara rasmi mengumumkan dirinya sah menyertai pasukan Sri Pahang dan sekali gus mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Thailand.

Kevin dalam satu hantarannya di Instagram menyatakan rasa syukurnya dapat bermain bersama kelab di liga Thailand selepas tiga tahun berkelana di negara itu.

"Perkara terbaik bermain dalam Liga Thai ialah pengalaman saya bermain untuk kelab terbaik di Thailand dan peluang untuk bermain bersama dan menentang pemain hebat. Saya menikmati tiga tahun saya dalam Liga Thailand dan saya bersyukur atas sokongan yang saya terima. Terima kasih kepada semua orang sepanjang perjalanan menarik ini! Dan sekarang saya gembira untuk berkongsi bahawa saya telah menandatangani dengan Sri Pahang," katanya.

ss

Tangkap layar laman Instagram Kevin.

Kevin yang berusia 29 tahun menyertai kelab Liga Thailand pada 2019 iaitu bersama Buriram United dan selepas dua bersama skuad itu beliau membuat 34 dan menjaringkan tiga gol.

Pada musim 2021, Kevin menyertai BG Pathum United yang merupakan juara bertahan Thai League pada masa itu dan tidak sampai setahun bersama kelab itu, beliau dipinjamkan ke Samut Prakan pada bagi saingan baki 2021/2022.

Kehadiran Kevin dialu-alukan oleh penyokong Sri Pahang kerana dengan aksi cemerlang dan pengalaman pemain itu di Thai League, boleh membantu pasukan Tok Gajah memperbaiki kedudukan dalam Liga.

"Selamat datang ke Darul Makmur Kevin Ingreso," kata kelab penyokong Sri Pahang, Tok Gajah Forever dalam laman Facebook.

Pasukan Pahang kini berada pada carta ketujuh Liga Super dengan hanya memenangi dua kemenangan dari lapan perlawanan.

Sebagai pemain posisi tengah pertahanan, Kevin mampu membantu Pahang untuk mengukuhkan bahagian tengah pasukan itu jika digandingkan dengan Azam Azih, seandainya tonggak Tok Gajah itu tidak jadi berhijrah ke kelab lain.

Azam dilaporkan akan berhijrah ke Johor Darul Takzim (JDT) susulan aksi cemerlangnya ketika Sri Pahang mengikat skuad Harimau Selatan dalam saingan Liga Super pada Mei lalu.

Kevin akan memberi perlindungan kepada Azam di bahagian tengah selain membantu pertahanan Sri Pahang yang setakat ini bolos 13 kali, pasukan ketiga paling banyak bolos dalam Liga Super.

Pemain kelahiran Jerman itu membantu bekas kelab, BG Pathum United untuk menduduki tangga kedua Liga Thailand dengan rekod bolos, 27 gol daripada 30 perlawanan, pasukan kedua paling sikit bolos dalam liga tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram