Dua anggota Abu Sayyaf dalam senarai 'wanted' Esscom ditahan


  • 112
  • Jumaat, 17 Jun 2022

Dua anggota Abu Sayyaf yang ditahan polis Filipina pada Jumaat.

DUA suspek lelaki bersenjata Abu Sayyaf (ASG) yang berada dalam senarai dikehendaki Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) ditahan polis Filipina pada Jumaat.

Sumber risikan serantau mengesahkan bahawa, kedua-dua mereka - Ben Tatto (Ben Quinrino Ahaddi) dan Al Mujir Yadah - telah ditahan sekitar pukul 8 pagi.

Sumber berkata, Ben dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya tiga kes penculikan di Sabah, manakala satu lagi adalah sebahagian daripada ASG, tetapi tidak secara langsung terlibat dalam sebarang insiden di negeri itu.

Penculikan yang dipercayai membabitkan Ben termasuk insiden Restoran Makanan Laut Ocean King di Sandakan pada 14 Mei 2015 serta sebuah ternakan ikan di daerah Kunak pada 16 Jun 2014.

Dalam kejadian penculikan di Sandakan itu, mangsa dikenali sebagai Thien Nyuk Fun dan Bernard Then, warga Sarawak, berusia 50 dan 39 tahun ketika itu.

Thien dibebaskan pada 8 November, namun kemudian dipenggal pada 17 November 2015.

Dalam kes Kunak, mangsa Chan Sai Chuin, 32, dibebaskan pada 9 Disember 2014.

"Suspek menyerah diri pada Januari, tetapi kini baharu ditahan secara rasmi," kata sumber itu.

Penahanan mereka berlaku beberapa hari selepas 12 pengganas, sebahagian daripada mereka dipercayai pengikut komander Abu Sayyaf Radullan Sahiron, menyerah diri kepada pihak berkuasa Filipina pada 10 Jun. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram