'Macam ni je kualiti Perak FC selagi tiada pemain otai'


  • Podium
  • Sabtu, 28 Mei 2022

Perak FC hanya boleh mendaftarkan pemain baharu berpengalaman ketika jendela perpindahan pemain dibuka semula hari ini. — Facebook/Perak FC

PENYOKONG Perak FC terpaksa berputih mata apabila pasukan kesayangan tumpas 1-2 ke atas Kuching City dalam saingan Liga Premier pada Jumaat.

Dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak itu, Kuching City FC membuka jaringan pada minit ke-37 menerusi Mohamad Alif Hassan sebelum penyerang import, Abu Kamara, menjaringkan gol kedua pada minit ke-59.

Perak FC bagaimanapun berjaya merapatkan jurang pada minit ke-63 apabila Muhammad Hakimi Isa menyempurnakan sepakan penalti, namun belum cukup untuk menyekat kemenangan Kuching City FC.

Meluahkan rasa kekecewaan, salah seorang penyokong yang dikenali Saab Saab tidak menolak kemungkinan bahawa, kekalahan The Bos Gaurus berpunca daripada hanya pemain muda yang ditampilkan dalam perlawanan itu.

Tambahan pula, pemain muda tersebut tiada pengalaman selain kekurangan pemain utama juga berkemungkinan menjadi faktor kekalahan.

"Harap pemain berpengalaman dan import dapat masuk untuk kutip tiga mata setiap game (permainan) seterusnya," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

template (91)

Tangkap layar komen-komen netizen di Facebook.

Sementara itu, Mohd Redzuan Abdul Rashid mempersoalkan bila pemain 'otai' atau berpengalaman boleh dibenarkan bermain di kelab tersebut.

"Selagi deme (mereka) tak main, selagi itulah nasib Perak FC macam ni je," katanya.

Zulkifli Perak menambah, kekalahan itu membuktikan tahap pemain Perak FC ketika ini yang dilihat tidak boleh pergi jauh.

Justeru, dia berharap sekiranya jendela perpindahan dibuka, kelab itu akan ada pemain baharu.

"...dan pemain bersama Perak dapat didaftarkan," katanya.

Faizalhawafiz Abdul Wafar pula menulis: "Tunggu transfer window (jendela perpindahan) buka, nak tengok perubahan macam mana. Support (sokong) terus."

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, keempat-empat pemain baharu Perak FC masih belum boleh beraksi kerana mereka perlu didaftarkan pada jendela perpindahan kedua bermula Sabtu (28 Mei).

"Sekatan (perpindahan) belum ditarik balik dan hanya boleh daftar pada jendela perpindahan kedua," katanya.

Sebelum itu, pegawai MFL yang dihubungi berkata, pendaftaran itu boleh dibuat dengan syarat Perak FC perlu menyelesaikan tunggakan gaji termasuk dalam kes Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Kalau tak selesaikan (gaji), mereka masih tak boleh daftar," kata pegawai tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram