Sony berjaya jual 20 juta unit PS5 seluruh dunia


  • eSports
  • Rabu, 08 Jun 2022

PS5 telah melepasi had jualan 20 juta unit seluruh dunia. — Agensi

SONY telah mengumumkan bahawa PlayStation 5 (PS5) melepasi 20 juta unit yang terjual di seluruh dunia, mereka juga merancang untuk meningkatkan pengeluaran PS5 tahun ini.

Seperti yang dilaporkan GamesIndustry.biz, Sony mengeluarkan kenyataan itu pada 3 Jun yang mana mengatakan PS5 akan mencapai pencapaian lebih awal jika bukan kerana kekurangan komponen konsol itu sejak pelancarannya pada November 2020.

"Kami sangat teruja untuk berkongsi bahawa Sony Interactive Entertainment (SIE) menjual lebih daripada 20 juta konsol PlayStation 5 di seluruh dunia," kata Naib Presiden Kanan, Ketua Jualan Global dan Operasi Perniagaan Sony, Veronica Rogers.

Jumlah jualan itu berjaya dicapai dalam tempoh 18 bulan konsol itu pertama kali dilancarkan pada November 2020.

PS5-Console-1392x884

PS5 akan mencapai pencapaian lebih awal jika bukan kerana kekurangan komponen konsol itu sejak pelancarannya pada November 2020. Agensi

“Kepada peminat yang masih belum berjaya mendapatkan konsol ini, harap maklum bahawa kami sedang merancang sebuah peningkatan yang signifikan dalam produksi PS5 pada tahun ini dan kami sedang bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan yang PlayStation 5 tersedia untuk semua orang yang inginkannya," tambahnya lagi.

Secara tepatnya, PS5 berjaya melepasi 20 juta unit jualan dalam tempoh 18 bulan 22 hari. Sebagai perbandingan, PS4 berjaya mencapai rekod sama dalam masa hanya 15 bulan 14 hari.

Harus diingat, sebelum ini, PS5 berjaya mencapai 10 juta unit jualan lebih pantas daripada yang dicapai PS4. Namun, disebabkan isu bekalan stok yang masih berterusan, momentum jualan PS5 nampaknya sedikit merudum.

Sama-samalah kita nantikan sama ada Sony akan berjaya mempertingkatkan produksi PS5 dengan signifikan ataupun tidak pada tahun ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram