MFL terangkan kenapa aksi Piala FA Terengganu-Kedah, Selangor-KL ditunda


  • Podium
  • Rabu, 08 Jun 2022

MFL mengumumkan pindaan jadual perlawanan Piala FA 2022 yang membabitkan pertemuan Terengganu-Kedah dan Selangor-KL. — MFL

MALAYSIAN Football League (MFL) mengumumkan pindaan jadual perlawanan Piala FA 2022 yang membabitkan Terengganu FC (TFC) bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Selangor FC (SFC) menentang Kuala Lumpur City (KLC) FC.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, pindaan jadual perlawanan Piala FA 2022 dilakukan selepas penyelarasan semula jadual Liga Super 2022 pasukan-pasukan berkenaan bagi mengimbangi jadual Liga Malaysia musim ini.

Menurut Stuart, pelepasan pemain utama TFC yang mewakili pasukan kebangsaan ke Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam bermula 12 Mei sehingga 23 Mei juga antara salah satu faktor berlaku pindaan tarikh perlawanan tersebut.

“MFL sebelum ini telah mengumumkan berlaku pindaan jadual melibatkan TFC pada 26 April dan hari ini (Rabu), pengumuman pindaan jadual perlawanan diumumkan di mana aksi TFC menentang KDA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak yang sepatutnya berlangsung pada 14 Mei kini dipinda ke 6 Julai," katanya dalam kenyataan rasmi pada Rabu.

Sementara itu, Stuart berkata, pindaan tarikh baharu membabitkan pasukan SFC dan KLC pula adalah memberikan tempoh rehat cukup berikutan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah membuat pindaan tarikh perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC 2022.

“Ini kerana Tampines Rovers bertemu KLC yang sepatutnya berlangsung pada 27 Jun tetapi bertukar kepada 30 Jun dan disebabkan itu pertemuan SFC dan KLC yang sepatutnya beraksi pada 2 Julai kini dipinda ke 8 Julai,” katanya.

Sementara itu, Stuart juga memberitahu penyelarasan perlawanan-perlawanan terbabit menyaksikan pindaan tarikh-tarikh perlawanan Piala FA 2022 di peringkat suku akhir, separuh akhir dan final juga menyaksikan berlaku perubahan.

“Justeru, disebabkan pindaan jadual ini menyaksikan jadual suku akhir Piala FA 2022 yang dijadualkan bermain pada 7 dan 8 Julai kini dipinda 23 Julai sementara separuh akhir Piala FA 2022 berlangsung pada 23 dan 24 Julai kini bertukar tarikh pada 6 Ogos sekali gus aksi final akan berlangsung pada 27 Ogos yang mana sebelum ini pentas perlawanan akhir dijadualkan berlangsung pada 6 Ogos,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram