BINTANG muda Kelantan FC, Mior Dani Armin menjadi pemain The Red Warriors (TRW) pertama yang mengucapkan selamat tinggal kepada skuad berkenaan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang bermula sejak 28 Mei hingga 24 Jun depan.
Mior Dani yang berpindah ke pasukan Sri Pahang FC secara pinjaman sehingga tamat musim 2022 itu disahkan sendiri oleh pasukan TRW menerusi laman Facebook mereka.
Tidak dapat dinafikan penghijrahan pemain berusia 23 tahun itu ke Sri Pahang sedikit sebanyak mengecewakan penyokong Kelantan FC kerana Mior Dani dilihat sentiasa beraksi dengan baik terutama mengemudi bahagian tengah pasukan.
Namun, terdapat sesetengah penyokong Kelantan berasa perpindahan Mior Dani ke pasukan Tok Gajah secara pinjaman sebenarnya membawa tiga kesan positif kepada pasukan TRW di masa depan.
1) Menambah lebih banyak pemain tengah
Bagi penyokong Kelantan FC, Mohd Norhisham Isenyulong perpindahan Mior Dani yang berstatus sebagai pinjaman itu sebenarnya secara tidak langsung menambah modal TRW mencari lebih banyak pemain tengah untuk beraksi di jentera pertahanan.
Malah yuran dari perpindahan Mior Dani itu turut dinyatakan oleh skuad Kijang Emas sendiri yang mana ia merupakan sejarah pendapatan hasil pertama kelab TRW Kelantan FC dalam pinjaman pemain ke pasukan lain.
"Semua kena tenang. Kita fikir positif. Kelab boleh "transfer loan fee", boleh buat modal cari DMF baharu," ujar Mohd Norhisham Isenyulong.
Poster rasmi perpindahan Mior Dani ke Sri Pahang secara pinjaman. — Facebook TRW
2) Meor Dani timba pengalaman di Liga Super
Penghijrahan Mior Dani turut direstui oleh penyokong Kelantan FC kerana mereka berasakan perkara itu akan membantu pemain yang menyarung jersi nombor 6 itu untuk menimba pengalaman bermain di peringkat lebih tinggi iaitu Liga Super.
Penyokong TRW, Mejey Thaqif berasakan apabila Mior Dani beraksi bersama Sri Pahang di peringkat Liga Super ia akan membantu mengasah bakat dan kemahiran pemain itu kerana akan lebih kelab bermain bersama kelab gergasi seperti Johor Darul Takzim (JDT), Kedah Darul Aman FC serta pasukan lain.
"Boleh asah bakat dengan skill. Nilai pemain pun akan naik kalu nak jual semula sebab pernah beraksi dengan Liga Super. Biasalah pemain Kelantan tempat ubi-ubi muda naik nama. Goodluck Mior," katanya.
3) Peluang untuk pemain tengah lain beraksi
Perkara positif lain apabila pemain itu ke Sri Pahang nanti adalah ketiadaan Mior Dani sebagai pemain tengah akan memberi peluang kepada bintang lain untuk menyerlah dan melahirkan lebih banyak bakat dalam skuad TRW.
Pemain seperti Azrie Basalie, Fathullah Fazilisham dan Safwan Hazman Che Hassan akan diberi mengemudi barisan tengah pasukan Kelantan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mior Dani buat sementara waktu.
"Bila Meor berhijrah, akan ada orang ganti dia (ada peluang orang lain untuk menonjol)... tahun depan kita akan ada dua orang DMF yang hebat," katanya lagi.
Dalam pada itu, bagi penyokong Sri Pahang, Stephenson Chiw, penghijrahan Mior Dani ke pasukan tersebut diibaratkan seperti TRW membalas semula budi Tok Gajah kerana pada 2011 pasukan itu pernah meminjamkan khidmat pemain sayap sensasi, Azamuddin Akil ke Kijang Emas untuk menghadapi saingan Piala Malaysia pada tahun itu.
"Tidak apa. Pahang dengan Kelantan dah macam adik-beradik. Ingat dulu semasa Pahang berada Liga Premier, Azamudin pernah kena pinjam ke Kelantan untuk dia belajar macam mana berada di tahap lebih tinggi. Lepas itu Pahang terus main Liga Super. Insya-ALLAH Kelantan FC akan naik semula lepas ni. Peminat Tok Gajah," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram