Datang beratus km dari Selangor, isteri orang dicekup berkhalwat dengan duda tua di hotel murah Kota Bharu


  • 112
  • Selasa, 07 Jun 2022

Wanita berstatus isteri orang bersama duda tua itu menaiki bas dari Selangor sebelum ditangkap khalwat dalam sebuah hotel bajet di Kota Bharu. — Sinar Harian

SEORANG wanita berstatus isteri orang dicekup berkhalwat dengan warga emas berstatus duda di sebuah hotel bajet di Kota Bharu, Kelantan pada Selasa.

Pasangan yang masing-masing berusia 56 dan 65 tahun itu dicekup pada pukul 11.30 malam oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah (BPUS) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik).

Ketua Penolong Pengarah BPUS Jaheaik, Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, pasangan itu datang dari Selangor dengan menaiki bas ke bandar ini sebelum ditahan.

"Lelaki warga emas itu memberi alasan mahu membeli emas di negeri ini," katanya ketika dihubungi pemberita pada Selasa.

Menurutnya, wanita itu pula mendakwa mahu menghadiri kelas senam aerobik di Terengganu.

Katanya, pasangan tersebut ditahan untuk siasatan lanjut dan dilepaskan dengan bon jamin, sebelum diminta hadir ke Mahkamah Syariah mengikut tarikh yang ditetapkan.

Mohd Fadzuli berkata, dalam operasi yang bermula pada pukul 5 petang sehingga 1 pagi itu, pihaknya turut menahan pasangan kekasih berusia 20-an.

"Remaja itu kita tahan di sebuah hotel bajet di sini. Dua pasangan ini akan disiasat mengikut Seksyen 50, Undang-undang Islam, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019," katanya.

Beliau berkata, Jaheaik turut memberi notis kepada tiga pasangan kekasih kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tepi Sungai Kelantan di Lembah Sireh, kira-kira pukul 5 petang.

Katanya, pasangan yang diberi notis diminta hadir mendapatkan perkhidmatan kaunseling dalam tempoh dua minggu, jika gagal hadir mereka boleh didenda. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram