SEORANG bekas banduan yang baru bebas dari penjara enam bulan lalu kerana kesalahan mencuri kenderaan, seolah-olah tidak serik apabila sekali lagi ditangkap atas kesalahan sama, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata, lelaki warga tempatan berumur 46 tahun itu yang dibebaskan dari Penjara Kajang pada Januari lepas ditahan di kawasan perumahan Flat Sri Sabah, Cheras, Kuala Lumpur kerana dipercayai terlibat kes kecurian lapan kenderaan di sekitar Cheras sejak enam bulan lalu.
Menurut Muhammad Idzham, semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kjenayah dan dadah serta dipercayai aktif mencuri kenderaan di beberapa kawasan termasuk Cheras, Pudu, Sri Petaling dan di Teluk Intan, Perak.
"Susulan tangkapan itu, polis mengesan dan merampas lapan kenderaan iaitu empat Proton Iswara, dua Proton Saga, sebuah van Nissan Vanette dan sebuah Proton Wira,” katanya pada sidang media di IPD Cheras, Kuala Lumpur pada Selasa.
Muhammad Idzham berkata, suspek direman empat hari bermula Isnin hingga 9 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Beliau menasihati masyarakat supaya menjaga harta benda masing-masing terutama kereta yang diletakkan di luar kawasan kediaman dengan membuat kunci tambahan bagi mengelakkan kecurian.
Sebarang maklumat mengenai salah laku dan jenayah boleh disalurkan menerusi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 03-92845050/5051 atau hotline Polis KL, 03-2115999, atau mana-mana balai polis berdekatan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram