PASUKAN negara dilihat mempunyai kelebihan untuk mengatasi Turkmenistan dalam perlawanan sulung kempen Kumpulan E pusingan kelayakan Piala Asia 2023, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu malam.
Meskipun Turkmenistan menduduki ranking ke-134 dunia berbanding Harimau Malaya pada kedudukan ke-154, ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon berkata, pasukan itu kurang menjalani perlawanan kompetitif.
Bagaimanapun, jurulatih dari Korea Selatan itu, mengakui pasukan dengan jolokan ‘The Greens’ itu mempunyai kekuatannya tersendiri, justeru berharap anak buahnya akan memberikan persembahan terbaik.
"Ia (kurang perlawanan kompetitif) adalah kelebihan buat kita tetapi secara amnya kita tak boleh buat jangkaan, mereka mempunyai kondisi tersendiri tetapi saya hanya menumpukan pada kondisi kita.
"Ketika di Singapura saya rasa kita bermain dengan baik dan juga kem latihan ini kita telah melakukan sesi yang amat baik dengan dua perlawanan rasmi serta satu tidak rasmi. Saya rasa kita telah membuat persediaan yang baik dan buat masa ini kita telah bersedia,” katanya pada sidang media praperlawanan di Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.
Turkmenistan tewas 0-1 kepada Thailand bulan lepas dalam perlawanan kompetitif pertama mereka sejak Jun 2021, manakala Malaysia merekodkan tiga kemenangan daripada empat perlawanan tahun ini, terbaru kemenangan 2-0 ke atas Hong Kong di Stadium Nasional.
Sementara itu, Pan-gon mengulangi kenyataannya untuk mengumpul tujuh mata keseluruhan dalam kempen kelayakan itu, dan skuad negara turut dijadualkan menentang Bahrain dan Bangladesh, masing-masing pada 11 dan 14 Jun ini di tempat sama.
Tiga mata pertama, katanya, disasarkan pada perlawanan Rabu, yang juga merupakan pertemuan pertama Malaysia dan Turkmenistan
"Jika ingin ke peringkat akhir Piala Asia, kita mesti mendapatkan tujuh mata dan kita akan cuba yang terbaik untuk mencapai matlamat itu," katanya.
Dalam pada itu, pemain pertahanan Dion Cools enggan memikirkan tentang keupayaan Turkmenistan namun berharap rakan sepasukannnya akan bermain seperti yang dirancang bagi meraih kejayaan.
"Kami hanya mahu bermain corak permainan kami dan menguasai padang, mungkin ia akan menjadi permainan yang bersifat fizikal, mungkin tidak, itu akan kita lihat esok, kami hanya perlu ikut strategi yang telah dirancang,” kata pemain kacukan Malaysia-Belgium berusia 26 tahun itu
Pemain FC Midtjylland itu yang dipinjamkan ke Zulte Waregem berkata, selepas setahun dalam skuad negara, beliau kini lebih serasi dengan rakan sepasukan dan lebih berkeyakinan dalam setiap perlawanan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram