PEMAIN naturalisasi negara, Liridon Krasniqi hanya mampu memberikan reaksi sedih apabila disahkan gagal 'menembusi' skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2023 bermula Rabu ini.
Pemain kelahiran Kosovo itu dilihat memuat naik emoji berduka pada InstaStory beliau pada Sabtu, sekali gus mencetuskan polemik dalam kalangan peminat Harimau Malaya betapa beliau diselubungi perasaan sedih dan kecewa dengan pengumuman senarai akhir 23 pemain itu.
Tangkap layar Insta Story Liridon pada Sabtu.
Selain Liridon, penyerang veteran, Norshahrul Idlan Talaha, Kogileswaran Raj Mohana Raj, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Afiq Fazail dan Shahrul Nizam Ros Hasni turut diketepikan dari senarai 23 pemain skuad kebangsaan.
Senarai 23 pemain yang dipilih untuk mewakili negara dalam kelayakan Piala Asia 2023. — Facebook FAM
Bagaimanapun, pada Sabtu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan pemain yang tidak terpilih tetap akan berada dalam senarai bersedia sekiranya penggantian pemain perlu dilakukan.
Sebelum ini, Liridon ataupun lebih dikenali sebagai Mat Don oleh para penyokong hanya mampu masuk sebagai pemain gantian minit ke-46 ketika Malaysia menewaskan Brunei 4-0 dalam perlawanan persahabatan tahap 1 antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur 27 Mei lalu.
Dia langsung tidak diturunkan ketika Malaysia menang 2-0 ke atas Hong Kong dalam satu lagi aksi persahabatan selepas itu.
Sementara itu, dua lagi pemain berstatus naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh dan Guilherme de Paula berjaya memikat hati pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk berada dalam senarai akhir 23 pemain.
Skuad kendalian Kim Pan-gon itu akan melayan kunjungan Turkmenistan pada Rabu, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) di Stadium Nasional untuk memburu tiket pusingan akhir Piala Asia 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram