SKUAD Harimau Malaya yang berjaya membenam Hong Kong dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023 akan bertemu Turkmenistan yang dirasakan lawan lebih kuat oleh rata-rata penyokong negara.
Senarai pemain yang akan menjadi pilihan Kim Pan-gon untuk mengharungi persiapan terakhir sebelum aksi Kumpulan E kelayakan kejohanan antarabangsa itu menjadi teka-teki dalam kalangan peminat.
Menurut Facebook Malayantigerfans, satu perlawanan persahabatan tertutup akan diadakan sebelum senarai 23 pemain dikeluarkan tidak lama lagi.
Berdasarkan poster yang dimuat naik dengan status itu, Harimau Malaya akan berdepan skuad Negeri Sembilan FC (NSFC).
Tiada butiran lanjut termasuk lokasi dan masa mengenai perlawanan persahabatan itu untuk rujukan para penyokong.
Pan-gon dikatakan mahu menguji beberapa taktikal dan formasi mengikut kesesuaian pemain sebelum memuktamadkan senarai 23 pemain Harimau Malaya dikeluarkan tidak lama lagi. — Facebook
"Perlawanan tertutup dengan tiada kehadiran penonton dan penyokong. Tiada live atau siaran langsung, tiada update atau info di page Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tiada poin FIFA (Federation Internationale de Football Association)," tulis laman penyokong itu.
Rata-rata peminat berpendapat Pan-gon mahu menguji beberapa taktikal dan formasi mengikut kesesuaian pemain selain dirasakan mahu memperbanyakkan variasi permainan.
Bagaimanapun pertemuan Harimau Malaya dengan skuad NSFC menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat yang mempersoalkan mengapa The Jangs menjadi pilihan Pan-gon.
Berikut merupakan tiga faktor mengapa Negeri Sembilan mungkin menjadi pilihan jurulatih dari Korea Selatan itu.
1) Lokasi
Lokasi Negeri Sembilan yang dekat dengan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang menjadi venue perlawanan Piala Asia 2023, mungkin menjadi antara faktor Pan-gon memilih pasukan itu.
Lagipun, dari segi faktor logistik, kos perjalanan, penginapan dan makan para pemain turut diambil kira dalam aspek ini.
Dengan jarak yang dekat, sekurang-kurangnya pemain tidak mengalami keletihan dan dapat mengekalkan tahap kecergasan untuk mengharungi perjalanan ke Paroi.
JDT dilihat begitu sukar membolosi pertahanan ampuh The Jangs walaupun diasak daripada pelbagai sudut. — Facebook
2) Top 3 Liga Super
NSFC yang mengumpul 15 mata setakat ini kini di kedudukan ketiga carta Liga Super di belakang Sabah FC (15 mata) dan skuad gergasi, Johor Darul Takzim (JDT) (16 mata).
Sebelum jatuh ke tangga ketiga, The Jangs pernah menjadi pendahulu Liga Super dengan rekod tanpa kalah sepanjang beraksi dalam enam aksi. JDT bagaimanapun meleburkan rekod itu menerusi gol kemenangan daripada Fernando Forestieri.
Melihat daripada faktor nombor satu, mungkin perlawanan persahabatan itu tidak dibuat dengan Sabah FC (kedudukan kedua Liga Super) atas sebab kos logistik dan jaraknya yang jauh.
3) Pertahanan The Jangs padu
Pertemuan antara NSFC dan JDT dalam saingan Liga Super musim ini menyaksikan aksi perlawanan yang benar-benar sengit. JDT dilihat begitu sukar membolosi pertahanan ampuh The Jangs walaupun diasak daripada pelbagai sudut.
Dari sudut ini, mungkin Pan-gon mahu pemain Malaysia merasai perlawanan berdepan pertahanan mantap yang ada di Negeri Sembilan seperti Herald Goulon, Annas Rahmat dan Nasrullah Haniff Johan dan Namathevan Arunasalam.
Malah boleh dikatakan majoriti pemain skuad negara ketika ini dibarisi bintang-bintang JDT dan ini ibarat ulangan perlawanan antara sebahagian skuad Harimau Selatan menentang NSFC.
Selepas Turkmenistan, tiga hari kemudian anak buah Pan-gon akan menentang Bahrain (11 Jun) dan menamatkan saingan kempen kelayakan berdepan Bangladesh pada 14 Jun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram