IVORY Properties Group Bhd menjangkakan peningkatan permintaan hartanah di Pulau Pinang, disokong oleh pembukaan semula sempadan, pelan rangsangan kerajaan dan penurunan harga hartanah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Low Eng Hock berkata, harga hartanah turun disebabkan oleh pandemik Covid-19 dan ini dijangka merangsang pembelian hartanah daripada pelabur atau penghuni, terutamanya dengan pengumuman inisiatif oleh kerajaan dalam Bajet 2022.
"Kami menjangkakan peningkatan permintaan terhadap hartanah kediaman, terutamanya daripada orang luar dari Hong Kong, China, Singapura serta anak jati Pulau Pinang yang menetap di luar negara.
"Kami menjangkakan sempadan antarabangsa akan dibuka tidak lama lagi dan berharap dapat mengalu-alukan lebih ramai pembeli dan pelabur, serta penyedia kewangan asing kerana mereka adalah pemacu utama operasi kami,” katanya kepada Bernama.Semasa pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peruntukan jaminan RM2 bilion menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (HCGC) untuk memudahkan pinjaman kepada mereka yang tidak memiliki bukti pendapatan stabil serta pelepasan cukai keuntungan harta tanah (CKHT) bagi hartanah yang dilupus mulai tahun keenam dan seterusnya.
Projek dengan jumlah nilai pembangunan kasar RM2.14 bilion sedang dalam perancanganKetika ini, katanya, satu daripada projek yang sedang dibangunkan kumpulan termasuklah podium komersial empat tingkat dengan 312 unit suite berperkhidmatan, The Wave, yang merupakan fasa ketiga projek Penang Times Square.
"Dengan anggaran nilai pembangunan kasar kira-kira RM500 juta, projek itu ketika ini telah 90 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua 2022,” katanya.
Pada masa depan, katanya, kumpulan hartanah yang berpangkalan di Pulau Pinang itu akan melancarkan beberapa projek dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM2.14 bilion.
Menurutnya, satu daripada projeknya, Crown Penang, suite berperkhidmatan 40 tingkat bernilai RM340 juta yang terletak di kawasan seluas 0.81 hektar dijangka dilancarkan tahun depan dan akan menampilkan teknologi rumah pintar canggih seperti lift pintar, yang menyediakan tokokan nilai serta keselesaaan kepada pemilik rumah dan pelabur.
Ivory Properties juga merancang melancarkan fasa empat dan lima Penang Times Square, masing-masing terdiri daripada hotel moden dengan nilai pembangunan kasar RM410 juta dan hotel butik bergaya dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM155 juta.
Penerokaan di luar dari Pulau Pinang
Low berkata Ivory Properties telah meninjau beberapa kawasan utama dengan potensi pertumbuhan di luar Pulau Pinang sejak beberapa tahun lepas termasuk Kuala Lumpur dan Perak, tetapi beberapa rancangannya terpaksa ditangguh disebabkan pandemik.
"Kami berhasrat untuk membina jenama kami dengan membina rumah yang boleh dilaksanakan dan menguntungkan bagi kepentingan pemegang saham kami, sekutu perniagaan dan kakitangan.
"Terdapat beberapa projek yang sedang dalam perancangan pembangunan di luar Pulau Pinang termasuk pembangunan Grand Connaught dan Avenue 8 Residence di Sungai Besi,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram