Dua atlet angkat berat negara terlibat doping digantung empat tahun


  • Podium
  • Isnin, 20 Dis 2021

AZROY (gambar) dan Ikram boleh mengemukakan rayuan secara bertulis kepada pihak ADAMAS dalam masa 21 hari. — The Star

DUA atlet angkat berat negara digantung daripada sebarang penyertaan sukan selama empat tahun susulan isu penggunaan bahan terlarang.

Kedua atlet berkenaan adalah Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan Muhammad Ikram Haikal Mohd Zuari.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memberitahu kedua-dua atlet yang berada di bawah Program Podium itu digantung selama empat tahun bermula 16 Julai 2021 hingga 15 Julai 2025.

"Keputusan itu dibuat oleh Panel Pendengaran Anti-Doping Malaysia selepas kedua-dua atlet tersebut membuat pelanggaran artikel 2.1 dan artikel 2.2 Peraturan Anti-Doping Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) 2021.

"Kedua-dua atlet boleh mengemukakan rayuan secara bertulis terhadap keputusan ini kepada pihak ADAMAS dalam masa 21 hari daripada tarikh surat pemakluman keputusan kepada kedua-dua atlet tersebut," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Tambah KBS lagi, ADAMAS telah melaksanakan pengujian kawalan doping ke atas Muhammad Azroy Hazalwafie, 27, dan Muhammad Ikram Haikal, 19, pada 21 Mei 2021 dan sampel urin kedua-duanya dihantar ke Anti-Doping Lab Qatar yang merupakan sebuah makmal diiktiraf Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Jelasnya lagi, keputusan analisis sampel A bagi kedua-dua atlet itu dikembalikan dengan Adverse Analytical Finding (AAF) untuk bahan terlarang, iaitu metandienone yang disenaraikan sebagai Anabolic Androgenic Steroids di bawah Senarai Terlarang WADA 2021.

"Kedua-dua kes itu dikendalikan selaras dengan peruntukan terkandung dalam Peraturan Anti-Doping ADAMAS 2021 dengan hak atlet diberi keutamaan untuk keadilan.

"Ia termasuk hak untuk didengar, hak untuk pendengaran adil dalam masa munasabah oleh panel pendengaran yang adil, saksama dan bebas daripada operasi ADAMAS," ujarnya.

Jelasnya lagi, proses pendengaran komprehensif telah dilaksanakan secara teratur di hadapan Panel Pendengaran Anti-Doping Malaysia yang dilantik secara bebas.

Sesi pendengaran Muhammad Azroy Hazalwafie diadakan pada 23 Oktober 2021, manakala sesi pendengaran Muhammad Ikram Haikal dijalankan pada 30 Oktober 2021.

Isu doping yang melanda dua atlet berkenaan menyaksikan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju membubarkan skuad sedia ada.

Kesemua empat jurulatih dan 13 atlet terlibat diberikan notis penamatan kontrak berkuat kuasa 1 November 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

angkat berat, doping, gantung, ADAMAS, KBS