SKUAD Malaysia mencatat dua kemenangan berturut-turut menjelang kempen Kelayakan Piala Asia 2023 selepas mengatasi pasukan di ranking lebih tinggi, Hong Kong 2-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional di Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Rabu.
Gol pasukan Harimau Malaya hasil jaringan sepakan penalti oleh Muhammad Safawi Rasid pada babak pertama dan juga sepakan percuma yang disudahkan Safiq Rahim pada minit ke-90.
Selain aksi nakal Akhyar Rashyid menjelirkan lidah kerana dilihat berpura-pura sakit selepas dijatuhkan lawan, berikut adalah lima talking point yang menjadi bualan penyokong bola sepak tanah air terhadap permainan yang ditunjukkan anak buah Kim Pan-gon.
Kualiti padang SNBJ terus dipersoalkan kerana keadaan rumput yang tidak sesuai untuk perlawanan antarabangsa. — Facebook
1. Kualiti padang
Isu kualiti padang SNBJ menjadi tumpuan sejak aksi pertemuan dengan Brunei pada 27 Mei lalu. Ramai penyokong merasakan venue itu tidak sesuai untuk perlawanan antarabangsa kerana keadaan rumput dikatakan mengganggu rentak pemain.
"Jika padang cantik, tidak mustahil permainan akan lebih baik...beberapa kali nampak pemain-pemain malaysia tergelincir. Apapun tahniah jurulatih Pan-gon dengan susunan pemain yang kita nampak solid dan teratur permainan. Ramai percaya pasukan ini akan lebih baik di hari-hari mendatang," Sabri Diaz.
"Kita nak tengok permainan yang baik dan bermutu. Tapi macam mana kalau asyik tergelincir dan pemain teragak-agak nak buat larian pecut masa counter attack? Tercabut-cabut rumput tu. Kalau kena pula (cuaca) hujan, hancur!," kata Abu Nazifah.
Safawi dikatakan tamak kerana terlalu ghairah untuk mendapatkan jaringan bagi dirinya. — Facebook
2. Safawi tamak
Walaupun berjaya mencetak gol menerusi sepakan penalti, ada sebahagian penyokong merasakan Safawi bersikap individualistik dan tamak.
Pemain itu dikatakan terlalu ghairah untuk mendapatkan jaringan dalam beberapa situasi sedangkan percubaan itu boleh disudahkan rakan sepasukan.
"Walaupun Pawi skor tapi still main macam s***, tamak. Lagi satu, jangan buat tendangan membabi buta," kata Herie.
Banyak hantaran gagal disudahkan dengan baik oleh Akhyar pada aksi menentang Hong Kong. — Facebook
3. Gameplay
Kebanyakan penyokong menganggap pertemuan dengan Hong Kong yang terkenal dengan jolokan Shaolin Soccer adalah ujian sebenar buat Harimau Malaya kerana bertemu lawan seangkatan.
Begitupun dalam aksi yang dipamerkan, persembahan anak buah Pan-gon dirasakan tidak menunjukkan bahawa Harimau Malaya boleh membaham pihak lawan berdasarkan gol yang hanya hadir melalui sepakan penalti dan deflection.
Mereka merasakan masih banyak yang perlu diperbaiki khususnya dari aspek finishing serta crossing dari bahagian sayap kiri dan kanan yang masih tidak tepat.
"Penyudah kita masih tumpul. Cuma finishing yang kurang baik, banyak peluang kita boleh score tapi tidak disudahkan dengan baik. Sepakan dari luar kotak juga masih meliar dan tersasar. Teruskan berusaha dan perbaiki kelemahan," kata Mohd Syafiq.
Arif Aiman bermain dengan cemerlang pada aksi menentang Hong Kong. — Facebook
4. Arif Aiman padu
Persembahan wonderkid, Arif Aiman Hanapi wajar dipuji meskipun dia mengakui tidak berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan.
Pemain muda yang baru berusia 20 tahun itu menunjukkan permainan yang berani dan matang sekali gus membuatkan peminat dapat mengagak sebab Arif Aiman tidak menyertai Harimau Muda ke kempen Piala Asia B-23 di Uzbekistan.
"Kematangan Arif Aiman ni melebihi usia dia...dia develop sense of play dari awal, memang kena jaga betul-betul budak ni. Harap form dia tak drop," kata Atiiq Azwan.
"Arif Aiman pemain muda yang baik dan perlu sentiasa meletakkan disiplin diri sebagai keutamaan di samping berusaha untuk meningkatkan mutu permainan. Insya-ALLAH, dia akan jadi pemain terbaik suatu ketika nanti," kata Bakar Budrah.
Sumareh antara pemain naturalisasi yang dirasakan tidak membawa impak kepada Harimau Malaya. — Facebook
5. Sumareh, de Paula dan Darren Lok
Penyokong Harimau Malaya rata-rata kesal dengan persembahan yang ditunjukkan oleh Mohamadou Sumareh dan Guilherme de Paula yang dirasakan tidak membawa impak kepada pasukan pada babak kedua permainan.
Yang dilihat oleh peminat hanyalah drama atas padang ekoran insiden Sumareh menumbuk pemain Hong Kong walaupun baru beberapa minit masuk ke padang hingga dilayangkan kad kuning.
De Paula pula terus menerima kritikan hebat kerana dikatakan tiada fungsi selepas hanya berjoging atas padang dan tidak memberikan komitmen penuh terhadap permainan.
"Masuk de Paula, Sumareh terus tak berbahaya serangan. Darren Lok pandai cari peluang dan berbahaya dalam box, cuma tiada luck je nak score. Patut biar Darren Lok main 90 minit.
"De Paula masuk puat apa atas padang? Sekali dua je touch bola. Ini wajib gugurkan dari skuad," kata Mo Salah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram