KEPUTUSAN pengendali skuad Bawah 23 (B-23) negara, Brad Maloney mengekalkan barisan pemain sama di Sukan SEA Hanoi 2021 baru-baru ini bagi menggalas cabaran negara pada Piala Asia 2022 di Tashkent, Uzbekistan disifatkan tindakan bijak.
Malah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa yang tampil mempertahankan tindakan pengendali berusia 50 tahun dari Australia tersebut menyifatkannya penting dalam mengekalkan keharmonian skuad tersebut.
Jelas Sadek, sebarang penampilan pemain baharu secara tidak langsung dibimbangi akan menjejaskan keharmonian dalam kalangan para pemain yang telah dibentuk sebelum ini sekali gus mengganggu momentum pasukan itu.
“Keputusan Maloney untuk bawa pemain yang sama ke Piala Asia B-23 merupakan satu keputusan yang tepat.
Benar saya tak nafikan kalau ada muka-muka baharu seperti dua pemain JDT tersebut mungkin akan menambah taring dalam skuad ini.
“Cuba bayangkan mereka yang ada sekarang sudah bekerja keras untuk sampai ke tahap ini, tiba-tiba ada pemain baharu masuk datang atas kapasiti dia seorang pemain berbakat.
Sudah tentu ia akan menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pasukan itu sendiri.
“Malah pemain-pemain yang dibawa Maloney ini bukanya tidak hebat berdasarkan prestasi semasa masing-masing.
Saya yakin walaupun Maloney kekalkan barisan sama, mereka mampu mencipta keputusan positif dalam kejuaraan pada kali ini,” katanya.
Pada Sabtu, Maloney mengambil keputusan untuk mengekalkan 23 pemain yang beraksi di Sukan SEA Hanoi 2021 baru-baru ini dalam menggalas cabaran Malaysia di Piala Asia B-23 di Uzbekistan bermula 1 Jun 2022.
Menurut Maloney, meskipun dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Ramadhan Saifullah dan Nathaniel Shio Hong Wan, berada di dalam senarai 50 pemain, namun beliau melihat tiada keperluan untuk kedua-dua tonggak itu disenaraikan sambil menegaskan mahu mengekalkan dengan pemain yang sedia ada.
Dalam pada itu, Sadek berharap barisan kejurulatihan skuad B-23 negara dapat memberikan tumpuan kepada aspek pemakanan dan kecergasan para pemain sepanjang mengharungi kejuaraan di Tashkent tersebut.
Jelasnya, perkara itu sangat penting bagi memastikan dalam kalangan pemain yang diturunkan berada dalam keadaan cergas dan bersedia untuk beraksi sekiranya diperlukan.
“Waktu Hanoi 2021 tempoh hari, FAM mungkin terlepas pandang berkenaan aspek pemakanan yang dilihat akan memberi kesan kepada kecergasan para pemain.
“Jadi saya harap aspek ini akan diberikan perhatian penuh oleh FAM, sebab kita nak pastikan kesemua pemain cergas dan tidak pancit ketika diturunkan dalam satu-satu perlawanan,” katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram