MASA depan Robert Lewandowski di Bayern Munich semakin hangat diperkatakan apabila dilaporkan bakal berhijrah musim depan.
Kehadiran bintang Liverpool, Sadio Mane yang ketika ini disebut-sebut bakal menyarung jersi The Bavarians musim depan juga menguatkan lagi spekulasi pertukaran 'barter' suka sama suka yang menyaksikan Lewandowski pula berhijrah ke Anfield.
Difahamkan, sebarang perbincangan lanjut melibatkan kontrak Mane dan Lewandowski cuma akan diputuskan pihak pengurusan sebaik aksi final Liga Juara-Juara berdepan Real Madrid di Stadium Stade de France, Paris, Perancis pada awal pagi Ahad.
Selain Mane, seorang lagi bintang Liverpool, Mohamed Salah juga disebut-sebut bakal 'angkat kaki' meninggalkan Anfield selepas aksi berdepan Real Madrid.
Bekas bintang Liverpool dan Real Madrid, Jerzy Dudek yang memenangi Liga Juara-Juara bersama The Reds pada 2005 juga menyokong hasrat kelab bagi mendapatkan tandatangan Lewandowski.
Ini kerana, Dudek percaya penghijrahan ke Anfield merupakan penamat karier yang sempurna buat penyerang antarabangsa Poland berusia 33 tahun itu.
“Dia (Lewandowski) telah menjadi penyerang terbaik di Eropah selama bertahun-tahun dan 10 musim terakhir di Bayern adalah luar biasa, dengan lapan kejuaraan dan saya fikir enam kali penjaring terbanyak dalam Bundesliga.
"Dia seorang pemain yang luar biasa dan saya agak terkejut bahawa Barcelona berminat dengannya.
“Berbanding Barcelona, saya fikir perkara terbaik untuknya ialah pergi ke Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana dia kuat, pantas dan pada pendapat saya, dia paling sesuai pergi ke Liverpool bersama (Jurgen) Klopp.
"Saya tahu (Roberto) Firmino ada di sana (Anfield), tetapi dia tidak selalu cergas 100 peratus dan saya fikir ia akan menjadi senario terbaik untuk Lewandowski,” kata Dudek.
Hubungan baik Klopp-Lewandowski bukan lagi rahsia dalam kalangan peminat bola sepak — Agensi
Lewandowski mula mencipta nama di bawah pengurusan Klopp bersama Borussia Dortmund (BvB). Dia menjaringkan lebih 100 gol untuk BvB dan memenangi empat gelaran, termasuk dua trofi Bundesliga.
Penyerang veteran itu akan mencecah usia 34 tahun pada Ogos depan, namun dia adalah antara mesin pencetak gol terbaik di dunia. Dalam kempen Bundesliga yang berakhir baru-baru ini, Lewandowski menjaringkan 50 gol dalam hanya 46 penampilan untuk Bayern.
Lewandowski dilaporkan menerima gaji £410,000 (RM2.26 juta) seminggu dan Bayern dilaporkan bersedia menjualnya dengan tag harga £30 juta (RM165 juta) bagi mengimbangi pembelian Mane yang dianggarkan berharga £25 juta (RM138 juta). — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram