Jangkaan meleset, ini 5 pemain bakal jadi senjata rahsia Pan-gon


  • Podium
  • Jumaat, 27 Mei 2022

Persiapan terakhir skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan antarabangsa tier 1 bertemu Brunei. — Facebook

MALAYSIA akan turun dalam satu aksi persahabatan antarabangsa menentang Brunei pada Jumaat dan ketua jurulatih pasukan, Kim Pan-gon menyatakan dia akan menurunkan ‘senjata rahsia’ bagi aksi malam ini.

Brunei menjadi aksi pemanas badan pertama bagi pasukan negara sebelum menghadapi saingan peringkat kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan bermula pada 8 Jun depan.

Pan-gon menyatakan dia bakal menurunkan senjata rahsia dan ramai pihak berpendapat senjata rahsia ini akan melibatkan pemain di bahagian serangan.

"Kami sudah mempersiapkan senjata rahsia bagi pasukan negara, dan jika segala perancangan yang dirancang berjaya mungkin penyokong Harimau Malaya akan dapat melihat formasi dan senjata baharu kami pada pertemuan esok (Jumaat)," katanya dalam sidang media perlawanan Malaysia bertemu Brunei baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas senjata baharu yang dimaksudkan.

Sekiranya pengendali dari Korea Selatan itu mahu mencuba sesuatu yang baharu, dia boleh mencipta kejutan dengan memasukkan pemain di luar jangkaan peminat dalam kesebelasan utama Harimau Malaya menentang Brunei.

Berikut merupakan lima pemain di posisi berlainan dari penjaga gol hingga ke bahagian serangan yang berkemungkinan menjadi senjata Pan-gon.

1543083

Darren tersenarai sebagai lima penjaring terbanyak dalam Liga Super musim ini dengan jumlah lima gol. — Facebook

1) Darren Lok (PJ City FC)

Pemain kelahiran kacukan England-Malaysia ini besar kemungkinan akan diberikan tanggungjawab sebagai penggempur utama pasukan bagi menentang Brunei.

Kali terakhir Darren menyarung jersi skuad kebangsaan pada tahun 2016 ketika Harimau Malaya kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Jika dilihat dari segi prestasi semasa, Darren dilihat lebih sesuai kerana dia mendapat minit permainan yang cukup bersama PJ City dalam saingan Liga Super.

Dia juga merupakan satu-satunya pemain tempatan yang tersenarai sebagai lima penjaring terbanyak dalam Liga Super musim ini dengan jumlah lima gol.

1522318

Faisal berkemungkinan besar akan menjadi pilihan Pan-gon sebagai senjata menentang Brunei. — Facebook

2) Muhammad Faisal Abdul Halim (Terengganu FC)

Pemain berusia 24 tahun itu mungkin mengejutkan peminat jika diberi peluang membarisi kesebelasan utama skuad kebangsaan.

Ini kerana sebelum ini, Faisal yang terkenal dengan panggilan 'Mickey' hanya duduk di bangku simpanan ketika aksi persahabatan antarabangsa di Singapura berikutan kekurangan minit permainan ekoran masalah teknikal yang dihadapi pasukan Terengganu FC.

Dengan prestasi memberangsangkan skuad Sang Penyu sepanjang Liga Super, tidak mustahil pemain sayap lincah itu menjadi pilihan Pan-gon sebagai senjata menentang Brunei.

36246A8E-69B0-46F5-8744-4D741B2B522B

Kelebihan bermain kaki kidal yang dimiliki Shahrul Nizam diperlukan dalam taktikal Pan-gon. — Facebook

3) Shahrul Nizam Ros Hasni (Terengganu FC)

Selain Faisal, Shahrul Nizam antara pemain yang dikatakan membuatkan Pan-gon tersenyum lebar.

Sebagai tonggak utama Terengganu FC untuk dua musim berturut-turut, ia menunjukkan bahawa pemain berusia 24 tahun itu mempunyai aura yang tersendiri.

Merupakan pemain berkaki kidal, sudah pastinya kelebihan ini akan dipandang oleh jurulatih Harimau Malaya yang sangat teliti dalam pemilihan pemain termasuk kaki dominan seseorang pemain tersebut.

Untuk rekod, sebelum ini, Pan-gon telah membawa masuk Khuzaimi Piee sebagai pemain pertahanan tengah berkaki kiri atas sebab taktikal dan berjaya membuktikannya ketika perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Filipina Mac lalu.

Ini bermakna, pertahanan tengah berkaki kiri sangat diperlukan dalam taktikal Pan-gon.

Afiq-Fazail-vs-Gyeongnam-FC-Mac-2019

Afiq Fazail pernah membantu JDT melakar sejarah ke peringkat kalah mati ACL. — Facebook

4) Afiq Fazail (JDT)

Pemain tengah pasukan Johor Darul Takzim (JDT) ini antara pemain tempatan dalam skuad Harimau Malaya yang memiliki tanda harga bernilai tinggi yang mencecah RM1 juta.

Dia dilihat antara jentera pasukan yang membantu JDT melakar sejarah ke peringkat kalah mati Liga Juara-juara Asia (ACL).

Dengan rekod cantik itu, tidak mustahil, Pan-gon akan menyenaraikan pemain berusia 27 tahun ini dalam kesebelasan utama untuk menentang Brunei.

280104609_7359312824141159_4582614955564288881_n

Ahmad Syihan memperagakan aksi menarik ketika menentang JDT dalam aksi Liga Super hingga pasukan gergasi itu sukar membolosi gawang The Jangs. — Facebook

5) Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Negeri Sembilan FC)

Walaupun ramai menduga posisi penjaga gol mungkin bakal diisi oleh Farizal Marlias dari JDT, namun jangan terkejut jika Ahmad Syihan dijadikan Pan-gon sebagai senjata rahsia menghadapi Brunei.

Syihan, 26, sebelum ini memperagakan aksi menarik ketika menentang JDT dalam aksi Liga Super hingga pasukan gergasi itu sukar membolosi gawang The Jangs.

Bagaimanapun dia tewas dengan jaringan gol bertaraf dunia yang dilakukan Fernando Forestieri pada penghujung perlawanan.

Untuk rekod, Syihan sebelum ini pernah beberapa kali dipanggil bagi menyertai skuad kebangsaan sama ada skuad senior mahupun bawah 23 tahun (B-23) negara.

Kali terakhir di pentas antarabangsa ketika bersama skuad B-23 pada 2018 sebelum dia terpalit dengan isu doping dan digantung selama 20 bulan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Kini dia sudah bebas daripada penggantungan sejak 2020 lalu dan mula kembali menemui sentuhan lama sambil mengakui teruja dapat menyertai skuad Harimau Malaya.

284394784_706399167099989_3338504033826053515_n

Pan-gon mengikuti persiapan terakhir skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan antarabangsa tier 1 bertemu Brunei pada pukul 9 malam, Jumaat. — Facebook

Dengan 'senjata rahsia' itu, pasti peminat tertunggu-tunggu aksi Harimau Malaya selain mengharapkan skuad kebangsaan dapat menghadiahkan kemenangan kepada negara.

Setelah berdepan Brunei, pasukan negara akan menghadapi satu lagi aksi persahabatan menentang Hong Kong pada 1 Jun dan kemudiannya akan memulakan saingan kelayakan Piala Asia 2023.

Malaysia berada dalam kumpulan E dan akan menentang Turkmenistan (8 Jun 2022), Bahrain (11 Jun 2022) dan Bangladesh (14 Jun 2022), kesemuanya akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram