Harimau Malaya sudah ada senjata rahsia — Pan-gon


  • Podium
  • Khamis, 26 Mei 2022

Pan-gon telah mengadaptasi informasi dan formasi baharu buat skuad kebangsaan. — Facebook FAM

PERLAWANAN membabitkan Malaysia dan Brunei akan menjadi medan ujian buat pengendali pasukan kebangsaan Kim Pan-gon dalam menggunakan 'senjata baharu' bagi mengharungi kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.

Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memilih pasukan Brunei Darussalam dan Hong Kong sebagai ujian pemanas badan sebelum menghadapi ujian sebenar bertemu pasukan yang lebih kuat iaitu Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh.

Jurulatih pasukan kebangsaan Pan-gon sebelum ini telah mendapat kritikan dari peminat bola sepak tanah air apabila mereka merasakan senarai 29 pemain dikeluarkan olehnya melibatkan beberapa tonggak pemain tempatan dan natrulisasi tidak mendapat minit permainan secukupnya.

kpg 2

Jika segala perancangan berjaya mungkin penyokong Harimau Malaya akan dapat melihat formasi dan senjata baharu pada pertemuan esok. — Facebook FAM

Dalam sidang media perlawanan Malaysia bertemu Brunei, Pan-gon berkata, semua pemain akan diberi peluang untuk mempamerkan aksi terbaik mereka bagi merebut kesebelasan utama pasukan kebangsaan pada perlawanan yang akan berlangsung Jumaat.

"Perlawanan esok (Jumaat) merupakan salah satu persediaan buat pasukan negara, saya akan melihat dan memberi peluang kepada semua pemain untuk mempamerkan aksi terbaik mereka.

"Saya berbangga dengan pemain skuad negara apabila mereka dapat mengadaptasi informasi dan formasi baharu yang dipersiapkan oleh saya serta barisan kejurulatihan dengan sangat cepat," katanya.

Tambahnya lagi, pasukan kebangsaan sudah ada senjata baharu untuk menghadapi kelayakan Piala Asia 2023 dan beliau berjanji akan memberikan yang terbaik buat penyokong Harimau Malaya.

"Kami sudah mempersiapkan senjata rahsia bagi pasukan negara, dan jika segala perancangan yang dirancang berjaya mungkin penyokong Harimau Malaya akan dapat melihat formasi dan senjata baharu kami pada pertemuan esok (Jumaat)

"Bagi penyokong pula, semua perlawanan amat penting buat pasukan dan saya akan berusaha sebaik mungkin untuk mencipta DNA Harimau Malaya yang baharu dari segi falsafah, semangat, formasi dan segala-galanya," ujarnya.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas senjata baharu yang dimaksudkan.

Terdahulu, peminat mendakwa pemilihan Brunei sebagai pengganti pasukan Myanmar dikatakan 'tangkap muat' kerana pengurusan FAM didakwa memilih pasukan yang berada di bawah berbanding kualiti pasukan kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram