AKTIVITI kokurikulum sekolah terutamanya sukan yang membabitkan pelajar-pelajar pelbagai peringkat bukan sahaja untuk amalan gaya hidup sihat tetapi ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepentingan riadah tersebut dalam kalangan mereka.
Pada masa yang sama, bersukan juga dapat membentuk kemahiran dalam diri setiap individu bagi setiap permainan yang dilakukan.
Inilah yang dibuktikan atlet Sekolah Kebangsaan Taman Kota Kulai, Johor, Nur Faizzatul Akmal Mohd Sahor, 12, apabila berjaya mewakili sekolahnya dalam sukan bola jaring.
Dia mula berkecimpung dalam permainan bola jaring sejak berusia sembilan tahun selepas mendapat galakan daripada guru-guru.
“Saya sememangnya suka dan minat dengan sebarang aktiviti sukan yang berkaitan dengan bola.
“Jadi saya pilih bola jaring untuk aktiviti kokurikulum dan tidak menyangka akan terpilih untuk mewakili sekolah,” katanya.
Nur Faizzatul Akmal (enam dari kiri) bersama pasukan bola jaring Sekolah Kebangsaan Taman Kota Kulai.
Tambah Nur Faizzatul, sukan itu bukan sahaja banyak mengajarnya mengenai semangat berpasukan, tetapi secara tidak langsung turut mendidiknya menjadi seorang yang berdisiplin.
Berbeza pula situasi bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim, Kulai, Johor, Fatin Mahirah Zulkifli, 16, yang pada mulanya tidak berminat dengan sukan bola jaring.
Bagaimanapun, bakat itu mula dipupuk setelah remaja itu acap kali mengikuti ibunya yang merupakan jurulatih bola jaring di sekolahnya kini.
“Saya mula berminat dengan sukan bola jaring apabila sering mengikuti ibu pergi melatih murid-murid bermain bola jaring di sekolah yang saya belajar sekarang.
“Ketika itu saya murid Tahun Lima di Sekolah Kebangsaan (SK) Kulai Kampung Melayu dan sudah menjadi rutin setiap minggu mengikuti ibu pergi latihan setiap Jumaat dari pagi hingga tengah hari.
“Pada mulanya, cuma hendak menemani ibu tetapi ada kalanya turut diajak bermain oleh pelajar-pelajar senior di situ,” katanya yang ketika itu hanya bermain untuk mengisi masa lapang.
Fatin Mahirah (kiri depan) bersama pasukan bola jaring Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suktan Ibrahim, Kulai.
Siapa sangka, Fatin Mahirah berjaya menjadi salah seorang pemain bola jaring mewakili sekolah ketika berada di Tahun Enam.
Bermula dari situ, pelajar itu membuat keputusan untuk meneruskan minatnya di sekolah menengah.
Tiada apa yang lebih menggembirakan bagi kedua-dua pelajar ini apabila dapat mewakili sekolah masing-masing dalam sukan yang mereka minati.
Baik Nur Faizzatul mahupun Fatin Mahirah, kemahiran dalam sukan bola jaring yang mereka peroleh di usia muda telah membawa kedua-duanya ke satu peringkat yang boleh dibanggakan. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram