'Hati-hati dipancing kelab-kelab kaya, gaji lumayan tapi duduk cold storage buat apa?'


  • Podium
  • Rabu, 25 Mei 2022

Jendela perpindahan kedua pemain masih lagi menjadi teka-teki di Liga Malaysia musim 2022. — Vocket FC

TARIKH bagi jendela perpindahan kedua untuk Liga Super dan Liga Premier yang akan dibuka semula pada 28 Mei sehingga 24 Jun 2022 semakin hampir.

Ketika ini, kelab bola sepak di Malaysia sudah merencanakan perubahan dalam pasukan masing-masing menjelang jendela perpindahan pemain itu dengan membawa pemain baharu.

Kelab-kelab dengan kewangan yang lebih kukuh dan menyakinkan, pasti akan memburu pemain berkualiti untuk menyertai pasukan sementelah hal itu tidak menjadi masalah buat mereka.

Penyertaan pemain itu juga diketahui supaya pasukan-pasukan atau kelab tersebut dapat memperkukuhkan lagi atau memperbaiki kedudukan mereka dalam Liga Malaysia.

Bagaimanapun, sayangnya, ada berlaku insiden di mana pemain yang sepatutnya menjadi tonggak dalam kesebelasan utama sesebuah kelab hanya diperam di bangku simpanan hingga mengakibatkan mereka kekurangan minit permainan.

23122021_Dr_Pekan_Ramli_IPT_Facebook_pic

Pekan Ramli berharap setiap pasukan atau kelab menggunakan peluang transfer window sebaik-baiknya dan ikut kemampuan tanpa sebarang agenda tersembunyi. — Facebook

Penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli berkata, walaupun jendela perpindahan kedua pemain masih lagi menjadi teka-teki di Liga Malaysia musim 2022, beliau berharap setiap pasukan atau kelab menggunakan peluang jendela perpindahan itu sebaik-baiknya.

"Jangan salah gunakan peluang transfer window ini dan ikut kemampuan dan keperluan tanpa sebarang agenda tersembunyi.

"Mungkin ada posisi-posisi pemain yang lemah dan perlu digantikan dan mungkin ada pemain import yang tidak perform dan perlu ditukar," katanya kepada Majoriti.

Beliau turut mengingatkan semua untuk tidak menggunakan jendela perpindahan sebagai peluang mendapat 'komisen' dari agen khususnya pertukaran pemain import.

Ini kerana katanya, hal itu mungkin akan mengecewakan kelab memandangkan yang datang nanti dikhuatiri lebih teruk daripada yang digantikan.

"Kita juga tidak mahu jika ada pasukan atau kelab yang banyak 'duit' gunakan transfer window ini untuk pancing pemain-pemain utama atau key player dengan tawaran lumayan.

"Pasti pemain itu akan tertarik tetapi ada agenda tersembunyi sebenarnya. Tapi sebenarnya adalah untuk melemahkan pasukan pesaing," katanya.

Justeru, beliau berharap setiap pasukan atau kelab menggunakan peluang transfer window ini sebaik-baiknya dan ikut kemampuan dan keperluan tanpa sebarang agenda tersembunyi.

"Kepada pemain-pemain khususnya yang dipancing oleh pasukan-pasukan 'kaya' ini juga perlu berhati-hati. Takut nanti dapat gaji memang lumayan tetapi duduk cold storage sahaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram