Tanpa Syafiq Ahmad, ini 3 impak bakal dihadapi Kedah


  • Podium
  • Sabtu, 21 Mei 2022

KDA FC perlu bangkit dengan pantas untuk mencari pengganti Syafiq agar keseimbangan pasukan di bahagian serangan kembali stabil pada perlawanan akan datang. — Facebook

SYAFIQ Ahmad sah bakal kembali menyarung jersi Johor Darul Takzim (JDT) setelah beraksi beberapa bulan sebelum itu bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) secara pinjaman apabila sekembalinya beliau daripada kem kebangsaan nanti.

Walaupun pada asalnya Syafiq akan beraksi bersama KDA selama satu musim, namun kelab asalnya tetap berhak memanggil beliau pada bila-bila masa diperlukan.

Untuk kem KDA FC, kini mereka pastinya bermasalah untuk menemui pengganti Syafiq setelah beliau pergi selepas ini.

Harus diakui, penyerang negara tersebut telah memberi impak besar musim ini buat kelab tersebut dengan hampir setiap perlawanan membabitkan beliau beraksi untuk membantu posisi serangan.

Ini ada tiga impak yang bakal dihadapi KDA setelah ketiadaan Syafiq bersama kelab tersebut seperti dilaporkan portal sukan, semuanyabola.com.

SA1

Hub kreativiti serangan terjejas

Tampil sebagai pemain tonggak utama bawah kendalian Aidil Sharin musim ini, Syafiq berjaya menjalankan tugas beliau selaku pemain serangan dengan baik.

Beliau sentiasa menjadi titik utama serangan KDA berdasarkan mobiliti, kreativiti, dan ketajaman beliau selain membantu penyerang import Ronald Ngah Wanja dalam membuka ruang serangan buat pemain tersebut.

Dua gol dan tiga assist berjaya diraih pemain tersebut sepanjang aksi beliau bersama KDA musim ini walaupun gandingan beliau bersama pemain lain masih baharu.

SA2

Pengalaman Syafiq di pentas antarabangsa

Syafiq Ahmad antara pemain yang mempunyai banyak pengalaman luas termasuk di pentas antarabangsa selaku pemain skuad kebangsaan serta di saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) ketika bersama JDT.

Tampilnya beliau di KDA FC menjadi aset untuk Syafiq mencurahkan pengalaman beliau terutama sekali kepada penyerang-penyerang muda seperti Afeeq Ikmal dan Fikhri Zulkiflee sebagai masa hadapan baru kelab.

Khidmat beliau pastinya amat dirasai apabila KDA bakal mengharungi saingan AFC tidak lama sahaja lagi untuk membantu jentera serangan berdasarkan pengalaman lalu Syafiq.

283006076_427904765837546_320162524067920714_n

Rombakan formasi dan taktikal

Setelah ketiadaan Syafiq dalam kem KDA FC, Aidil pastinya bakal merombak kembali formasi pasukan terutama sekali sudut taktikal.

Ini kerana, Syafiq merupakan pemain penting dalam sistem yang diterapkan Aidil hampir dalam setiap perlawanan di bahagian serangan pasukan.

Ditambah import mereka iaitu Dennis Buschening pula dilanda kecederaan jangka masa panjang, pastinya ini memberi kerja tambahan buat pengendali dari Singapura itu untuk merangkai kembali taktikal beliau menjelang saingan AFC tersebut.

Kesimpulannya, KDA FC perlu bangkit dengan pantas untuk mencari pengganti Syafiq agar keseimbangan pasukan di bahagian serangan kembali stabil pada perlawanan akan datang.

Ketika ini, pemain yang sesuai beraksi di posisi Syafiq mungkin terarah kepada Fayadh Zulkifli setelah pemain lincah itu juga mempamerkan aksi positif musim ini.

Apa yang membezakan Syafiq dan Fayadh adalah pengalaman. KDA FC pastinya memerlukan seorang pemain import untuk bergandingan bersama Ngah Wanja dan kemungkinan mengorbankan mana-mana posisi lain.

Dalam masa sama, KDA juga perlu giat untuk memantapkan kualiti permainan buat bintang muda mereka supaya pemain seperti Syafiq bakal dilahirkan dengan baik oleh kelab tersebut pada masa akan datang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram