SEORANG juruterbang syarikat penerbangan dilaporkan oleh isterinya kepada Polis Surabaya, Indonesia kerana disyaki mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.
Orang ketiga itu yang dipercayai perempuan simpanan suaminya disyaki seorang pramugari.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Surabaya, Ajun Komisaris Besar Mirzal Maulana mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut, namun enggan memberikan butiran lanjut.
“Ya, kami sudah terima butirannya,” kata Mirzal pada Khamis seperti dilaporkan CNN Indonesia.
Menerusi maklumat yang dikumpul, Mirzal berkata, si isteri pada mulanya mengekori suaminya yang ketika itu bersama wanita lain, di sebuah hotel di Jalan Raya Darmo, Surabaya.
"Ketika itu, si isteri mendapati suaminya sedang bersama dan bermesra dengan seorang perempuan disyaki bekerja sebagai pramugari. Hasil serbuan, si isteri kemudian melaporkan kes itu kepada polis," katanya.
Kes itu kini dikendalikan Unit Perkhidmatan Wanita dan Kanak-Kanak (PPA) Satuan Reserse dan Kriminal (Satreskrim) Polis Surabaya.
Ketua Polis Surabaya, Komisaris Besar Ahmad Yusep Gunawan mengesahkan laporan wanita terbabit mengenai hubungan sulit juruterbang itu.
"Ya, ada laporan di SPKT yang sedang diuruskan, berhubung seorang wanita yang melaporkan dakwaan hubungan sulit suaminya dengan wanita lain. Kini diproses di Unit PPA," kata Yusep.
Yusep turut mengesahkan suami yang dilaporkan isterinya adalah seorang juruterbang manakala perempuan simpanannya pula seorang pramugari.
"Suaminya seorang juruterbang. Wanita seorang lagi disangka pramugari. Kami masih menerima laporan, kami akan menyiasat lebih lanjut," tambah Yusep.
Bagaimanapun, Yusep tidak menyebut syarikat penerbangan tempat juruterbang itu berkhidmat kerana kes dakwaan tersebut masih dalam proses siasatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram